Thursday 25 February 2010

AHMAD SAID DI GANTI MAC INI ?

Satu blog memperkatakan Ahmad Said akan diundurkan pada Mac 2010 ini. Diperkatakan seorang Datuk yang rapat dengan SPB YDP Agong maklumkan Najib akan mengadap dalam masa terdekat bagi pohon perkenan menggugurkan Ahmad dari kerusi MB Terengganu.

Di Marang, Terengganu, pegawai APMT DUN Alur Limbat ditugas untuk mewar-warkan perlantikan Alias sebagai MB pada bulan Mac ini. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini tarikh perlantikan Alias ditunda ke bulan Mei pula mungkin atas sebab teknikal.

Nampaknya pemecatan Ahmad tidak akan membawa kepada  penyelesaian kepada isu perlantikan MB kerana semua ahli kumpulan penentang inginkan jawatan MB dan tiada kompromi antara mereka. Jika seorang daripada mereka dilantik, bakinya akan menentang. Jadi kemelut akan lebih dahsyat daripada penentangan terhadap Ahmad. Oleh itu pengekalan Ahmad akan terus mensetabilkan UMNO Terengganu.

Dalam perkatakan isu pemecatan Ahmad, timbul pula kemelut baru di Perlis, kumpulan Sahidan dikatakan menuntut perjajian perlantikan MB Perlis yang mana dipersetujui Isa dan Sahidan kepada giliran separuh penggal setiap seorang. Bacalah Malaysiakini.com untuk cerita sepenuhnya.

Penyakit UMNO di negeri kini menular ke Pusat pula bila Sabahdaily.com pula mencipta isu PM dan TPM bertajuk Dari “Mahathir vs Abdullah” ke “Muhyiddin vs Najib”, bacalah petikan sepenuhnya di para berikutannya.


Khabar mula tersebar bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddn Yassin sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melawan ketuanya, Najib Razak. Malah, analisis ahli akademik Greg Lopez menjangkakan bahawa “Najib yang baru memegang tampuk kuasa mulai April 2009, kini dalam bahaya gagal menyempurnakan tempoh satu penggal sebagai Perdana Menteri”. 【Baca: Is Najib on his way out?】

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menghangatkan “bahang” apabila mencabar dan mendesak Muhyiddin untuk menyatakan pendirian sama ada mendukung gagasan “1Malaysia” oleh Najib, ataupun mewarisi legasi Mahathir Mohamad. Lantas Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan media, malah setiap gerak-gerinya bakal diteliti di bawah kanta pembesar, termasuk berapa kali beliau menyebut “1Malaysia” dalam ucapan selepas ini.

Kisah tikam-menikam antara ketua dengan timbalannya bukanlah sesuatu yang baru dalam politik. Ketua akan sentiasa mengawasi dan menyekat pengaruh timbalannya, di samping timbalannya pula akan menunggu dan mencari kesempatan untuk mengorak satu lagi langkah ke depan…

Persepsi terhadap Najib terlalu negatif

Sebelum Najib menjangkau kemuncak kuasa, tidak kurang desas-desus yang mengatakan bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai PM Malaysia. Dari perhitungan politik Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak yakin bahawa Najib akan melindungi kepentingannya. Untuk sesetengah anggota UMNO pula, mereka khuatir bahawa Najib yang terjerat dengan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif mudah terdedah kepada serangan pembangkang. Dari segi moral, Najib dikaitkan oleh pembangkang dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu; dari segi integriti pula, beliau tercalit dengan isu komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet Sukhoi.

Sekali imbas, zaman “reformasi” menjadikan Mahathir Mohamad sebagai ikon “zalim”, “rasuah”; dan Abdullah Badawi pula disifatkan sebagai “lemah”, “lambat” sebelum PRU ke-12. Pemimpin akar umbi mendapati diri mereka sukar untuk menangkis serangan sedemikian yang dilontarkan oleh pembangkang dalam ceramah politik. Maka, Najib yang sudah terpaut dengan persepsi negatif sebelum menjadi PM ini sebenarnya adalah beban dari kaca mata mereka.

Muhyiddin puas sekadar TPM?

Dalam situasi sedemikian, Muhyiddin Yassin menjadi calon PM yang boleh “dipertimbangkan.” Lebih-lebih lagi, apabila Mahathir Mohamad sudah tidak sabar dengan Najib yang masih keraguan untuk mencabar Abdullah Badawi seketika dahulu, nama Muhyiddin pula digilap berkali-kali olehnya.

Gandingan pimpinan “Najib-Muhyiddin” hari ini sebenarnya terhasil daripada keberanian Muhyiddin Yassin untuk mendesak agar Abdullah Badawi berundur. Dari sudut ini, Najib boleh dikatakan mengecapi hasil daripada “risiko” yang ditanggung Muhyiddin setahun yang lalu.

Ironinya, jikalau dihitung dari segi umur pula, Najib menjadi tanda noktah kepada riwayat politik Muhyiddin Yassin di sebaliknya. Muhyiddin Yassin, 63, enam tahun lebih tua daripada Najib Razak. Dengan kata lain, semakin lama Najib kekal sebagai PM, semakin tipis peluang Muhyiddin menjadi penggantinya.

Seandainya Muhyiddin tidak puas sekadar menjadi TPM, maka beliau perlu bertindak untuk menyekat Najib, sekurang-kurangnya dalam tempoh tidak melebihi dua penggal. Dalam sistem politik Malaysia (buat setakat ini), sesiapa yang bertekad untuk menjadi PM wajib meraih sokongan UMNO terlebih dahulu.

Gelanggang silat politik di UMNO

Dan di situlah gelanggang silat politik antara Muhyiddin dengan Najib. Muhyiddin memiliki kelebihan dalam UMNO apabila tampil dengan imej pemimpin yang lantang bersuara dalam isu kepentingan Melayu dan Islam. Sebaliknya, Najib berada dalam gelanggang politik yang lebih luas, perlu mengambil kira tuntutan dan keperluan semua pihak.

Bertitik tolak daripada itu, “1Malaysia” dilaungkan untuk memikat undi semua kaum. Najib memainkan peranan untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Melayu-Islam dan pengundi bandar bahawa UMNO sedia berubah. Muhyiddin pula, sebaliknya memainkan peranan untuk meyakinkan masyarakat Melayu-Islam dan penyokong UMNO bahawa kepentingan Melayu dan Islam tidak terjejas berikutan “perubahan UMNO”.

Pendekatan yang digunakan kedua-dua mereka sebenarnya tidak selari dan saling bercanggah. Dan di celah-celah inilah Lim Kit Siang menusuk jarumnya. Persoalannya mudah, apakah Muhyiddin sudah bersedia untuk menggulingkan Najib?

Proses menggulingkan Pak Lah

Persoalan ini semestinya mencungkil minat orang ramai jikalau dilontarkan. Tetapi, seandainya diimbas kembali proses menggulingkan PM kelima, Abdullah Badawi yang berakhir belum genap setahun, kita akan mendapati bahawa syarat yang ada pada Muhyiddin sebenarnya belum matang.

Mahathir melemparkan kritikan terbukanya terhadap Abdullah buat kali pertama pada 7 Jun 2006. Sekiranya dikira dari tarikh tersebut, proses penggulingan Abdullah Badawi sebenarnya mengambil masa lebih daripada dua tahun. Malah, mustahil Abdullah mengundur diri seandainya tidak berlaku tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Dalam tempoh lebih daripada dua tahun ini, Mahathir menggunakan segala kritikan tajamnya, sindiran sinisnya, malah mengambil langkah drastik untuk keluar parti sebagai desakan terhadap Abdullah. Bahkan, rombakan semula puak-puak berkepentingan dalam UMNO, misalnya beberapa puak “anti-Pak Lah” bersatu untuk menyerang bersama Abdullah-Khairy, menjurus kepada pencapaian matlamat itu.

Kedudukan Abdullah tidak goyah seandainya hanya tekanan dari dalam parti. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan melalui media internet terhadap saham dan harta yang dimiliki keluarganya, serangan Mahathir sehabis-habisnya gagal menjatuhkan Abdullah dari tempatnya, sebelum PRU ke-12.

Hanya apabila tsunami politik mengombak pada 8 Mac 2008, barulah arus tekanan dalam parti semakin menderas. Biarpun begitu, Abdullah (gambar kanan) masih mampu bertahan pada tempatnya, sehingga kekalahan besar UMNO-BN dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008.

Natijah pergelutan UMNO

Melaga-lagakan musuh politik bukanlah taktik baru, malah sudah berkali-kali pemimpin PAS dilagakan apabila pemimpin PKR mahupun DAP mengambil pendekatan yang kelihatan tidak selari dengan apa yang dihujahkan PAS secara tradisionalnya. Jelas, Muhyiddin belum memiliki syarat-syarat seperti di atas untuk menamatkan riwayat politik Najib.

Namun, persoalan yang lebih penting, apakah natijahnya daripada pergelutan kuasa dalam UMNO? Apakah masyarakat Malaysia perlu mengulangi satu proses yang sama, kembali kepada titik asal setelah habisnya satu putaran di bulatan politik?

Ketika Mahathir melawan Abdullah Badawi melalui Najib, Abdullah ditampilkan oleh pembangkang sebagai pemimpin yang cuba membawa perubahan kepada UMNO, sementara Najib ditonjolkan pula sebagai pendukung Mahathirisme.

Tetapi, apabila Najib mengambil alih tampuk kuasa, beliau pula ditonjolkan sebagai pemimpin yang bertekad membawa perubahan kepada UMNO, di samping Muhyiddin Yassin memainkan peranan sebagai batu penghalang perubahan, kini dituduh sebagai pewaris legasi Mahathir.

Mungkin ada yang mendakwa bahawa “perubahan” yang dibawa oleh Abdullah Badawi, walaupun tidak mendatangkan hasil yang jelas, tetapi setidak-tidaknya membuka sedikit ruang, yang akhirnya menjurus kepada tsunami politik. Pertarungan antara Mahathir dengan Abdullah, walaupun berkisarkan perebutan kuasa dan kepentingan, tetapi membuka ruang kebebasan bersuara secara tidak sengaja. Pertarungan itu memperlihatkan bagaimana Mahathir yang mencabul kebebasan bersuara semasa pemerintahannya, akhirnya memilih media internet untuk membalas serangan daripada media arus perdana yang dikuasai Abdullah.

Namun demikian, jika dilihat kepada “pergelutan” yang ada sekarang, masyarakat kita sebenarnya tidak dimanfaatkan. Menjuarai isu perkauman dan agama telah memberi laluan kepada pencerobohan rumah ibadat, peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam tempoh puluhan tahun kebelakangan.

Malah, apakah ruang kebebasan dan demokrasi terbuka luas kerana “pergelutan”, atau “ketidak-selarian” antara orang nombor pertama dan kedua dalam negara ini? Apakah “rasuah”, “kebebasan”, “demokrasi”, “keadilan” dibangkitkan sebagai isu, untuk menyelesaikan masalah Malaysia pada hari ini?

Jawapannya amatlah jelas. Cuma, mengapa ghairah sangat untuk berputar-putar di bulatan politik yang sama?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Sunday 14 February 2010

SELAMAT BERSARA KEPADA DATO' MOKTHAR NONG.

Yang Berhormat Ustaz Ramli Noh dalam blognya mengucapkan  selamat bersara kepada Dato' Haji Mokthar Nong dari jawatan Setiausaha Kerajaan Terengganu, yang juga merupakan senior beliau semasa beliau sama-sama penjawat awam sebelum jadi ADUN.

Beliau merakamkan rasa sedih & terharu dengan persaraan YB Dato' SUK dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bersara. Seterusnya beliau nyatakan bahawa  perkhidmatan yang Dato' Mokthar taburkan selama ini cukup memberi impak yang besar kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau merasa kagum dengan ucapan yang Mokthar ucapkan dan memberi pesanan ikhlas kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk juga kepada saya selaku pengerak jentera Kerajaan. "Setinggi mana pangkat yang kita sandang, jangan lupa orang di bawah kita kerana mereka juga perlu diberi perhatian".

Seterusnya YB. Ustaz Ramli nyatakan "Insya-Allah, YB Dato', akan saya abadikan nukilan ikhlas itu. Walaupun, saya tidak berpeluang untuk mengikuti majlis persaraan yang diadakan di Wisma Darul Iman akan tetapi disudut hati saya, saya juga sedih kerana kehilangan sebuah pertama yang bernilai tinggi."


Akhir kalamnya Ustaz Ramli  memberi kata akhir Khas Buat Dato' Mokthar bahawa jasamu akan dikenang hingga akhir hayat.

Begitulah tertibnya seorang ADUN yang berpendidikan Agama dan bekas seorang Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Terengganu yang faham akan peraturan dan tatacara persaraan seorang penjawat awam. Apabila surat persaraan dihulurkan kepada kerajaan bermakna berakirlah riwayat perkhidmatan dengan kerajaan, diikuti dengan alam percutiaan sebelum bersara dan akhirnya alam persaraan.

Berbeza dengan  rakan ADUN Bloggernya, walaupun secara pelat dapat sebut Hadis dan Quran dalam sidang DUN dibawah Pas dulu, loket untuk ucap selamat bersara dalam laman webnya walaupun ia percuma  untuk sama-sama mengucap selamat bersara kepada Mokthar. Sedangkan semasa zaman sebelum ini tidak kurang Mokthar membantu memberi kelulusan perojek-projek besar dan kecil secara 'rundingan terus' semasa menjadi Pegawai Kewangan dan kelulusan tender semasa menjadi SUK kepada kroni beliau,  termasuklah projek Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada awal tahun lalu.

Sebagai bloger berhormat, janganlah loket, berilah ucapan selamat bersara kepada Mokthar, agar dapat meninggalkan perkhidmatan dengan aman dan dapat menafaatkan ganjaran yang besar yang diterima daripada kerajaan khusus untuk berbakti kepada masyarakat Terengganu

 Kepada Dato' Mokthar, terimalah hakikat bahawa Dato' telah membuat pilihahn yang tepat sebagaimana rakan-rakan Dato' sebelum ini termasuk Dato' Muhathar, Dato' Che Mat dan lain-lain lagi.

Berilah kerjasama sepenuhnya kepada Dato' Mazlan Ngah dan Dato' Razak Ismail dalam mengambil tugas sebagai pengganti. Hentilah provokasi untuk kembali menjadi SUK pada bulan March ini. Rancanglah sesuatu kerja kebajikan kepada rakyat Terengganu dengan kurniaan besar yang telah Dato' terima daripada kerajaan negeri

Sekiranya rasa benci dan dendam menebal kepada Dato' Ahmad Said, lepaskanlah segala jawatan-jawatan dalam GLC yang masih lagi belum dilepaskan. Ramai lagi Pegawai-Pegawai sedang menunggu untuk menggantikan tempat bagi mendapat pengalaman mentadbir dunia koperat.

Kepada tiga lagi ADUN, ikutilah jejak langkah YB. Ustaz Ramli dan rakan-rakan  dalam kembali kepangkal jalan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Dato' Ahmad Said dan Kerajaan Negeri bagi memastikan Terengganu terus maju dan membangun. Berilah kerjasama sebagaimana ADUN lain memberi kerjasama semasa semasa YB  menjadi exco dan MB suatu masa dulu..

Kebanyakan YB YB masih muda dan masih dapat pergi jauh dalam arena politik seandainya UMNO masih belum berkubur. Kembalilah kepangkal jalan sebagaimana Ustaz Ramli dan rakan-rakan demi masa depan tuan-tuan semua.

Ucapan Penuh Selamat Bersara Khas Dato' SUK daripada YB. Ustaz Ramli Noh dalam blognya sebagaimana berikut :-.
 
Assalamualaikum wrt wbt.

1. Pertama-tama sekali saya memohon maaf kepada sahabat-sahabat bloggers yang sentiasa mengikuti blog ini. Oleh kerana, hampir beberapa bulan saya tidak mengemaskini informasi yang penting. Saya agak sibuk dengan tugas dan masa yang tidak terluang untuk menulis. Saya juga mengucap terima kasih kepada rakan-rakan bloggers yang melayari blog ini.

2. Tidak terlambat lagi untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1431 & Selamat tahun baru 2010. Semoga kita sama-sama menanam azam yang tinggi semoga kedatangan tahun baru 2010 memberi kebaikan daripada tahun-tahun yang sudah berlalu meninggalkan kita. Tahun 2009 telah meninggalkan kenangan manis dan tidak kurang jugak pahit selaku saya YB (Yang Berkhidmat) kepada rakyat. Dari rakyat saya datang dan kepada rakyat saya serahkan penilaiannya.

3. Saya sedih & terharu dengan persaraan YB Dato' SUK. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bersara. Perkhidmatan yang Dato' taburkan selama ini cukup memberi impak yang besar kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Saya kagum dengan ucapan yang beliau ucapkan dan memberi pesanan ikhlas kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk juga kepada saya selaku pengerak jentera Kerajaan. "Setinggi mana pangkat yang kita sandang, jangan lupa orang di bawah kita kerana mereka juga perlu diberi perhatian". Insya-Allah, YB Dato', akan saya abadikan nukilan ikhlas itu. Walaupun, saya tidak berpeluang untuk mengikuti majlis persaraan yang diadakan di Wisma DArul Iman akan tetapi disudut hati saya, saya juga sedih kerana kehilangan sebuah pertama yang bernilai tinggi.

Akhir kata, Khas Buat Dato'SUK.

Jasamu akan dikenang hingga akhir hayat.

RAJA DINISTA HANYA KERANA TIDAK DAPAT JADI MB

Keputusan  Mahkamah Persekutuan 5-0 mengekalkan keputusan Sultan Perak yang telah melantik Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak, mengesahkan kuasa Sultan  yang sebelum ini dijelaskan oleh Dato' Seri Utama Rais Yatim.

Tindakan membawa kes ini ke Mahkamah jelas satu penderhakaan kepada Sultan Perak kerana perlantikan Menteri Besar merupakan kuasa Sultan dan bukannya kuasa Mahkamah. Undang-Undang Negeri amat jelas apabila memperuntukan Sultan boleh mengenepikan mana-mana peruntukan perlembagaan sekiranya menghalang baginda daripada melantik seorang ADUN yang baginda perkenan.



Amalan ini jelas, bukan sahaja berlaku di Perak, malah berlaku di Perlis dan Terengganu. Manakala di Johor, Tuanku Sultan menitahkan Perdana Menteri mencalonkan orang yang baginda perkenan bagi dilantik sebagai Menteri Besar sebagai calon ADUN dalam pilihanraya.

Berikut ulasan Hambali dalam blognya Rakyat Malaysia,

Selepas mendengar keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan minggu lalu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak boleh membawa kepada 'sistem pemerintahan beraja mutlak'.

Beliau juga mendakwa keputusan berkenaan merupakan petanda 'hitam' dalam sejarah Malaysia serta memberikan gambaran bahawa institusi kehakiman masih lagi belum terlepas dan bebas daripada apa-apa pengaruh.

Beliau menyifatkan keputusan berkenaan seolah-olah telah mengetepikan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. "Ia akan memberikan ruang supaya demokrasi di Malaysia jauh lebih kusut kerana ia seolah-olah menjurus kepada absolute monarchy.”

Dengan kata lain Mohd Nizar beranggapan kita tak perlu adakan pilihan raya, tak perlu ada Parlimen oleh kerana monarki boleh menetapkan siapa menjadi pemimpin sesebuah negari ataupun negara.

Sesuaikah kenyataan sebegini dibuat oleh seorang rakyat yang bernaung di bawah Perlembagaan yang menetapkan kuasa raja sedemikian.

Juga persoalan apakah benar Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO yang melucutkan kuasa raja?

Benarkah kata-kata bahawa selepas krisis Perlembagaan yang diakibatkan oleh haramnya UMNO pada 1988 menyebabkan terhakisnya kuasa raja?

Kemarahan Mohd Nizar dan mereka yang menentang keputusan Mahkamah Persekutuan, selain istana melantik Menteri Besar di Perlis dan Terengganu semata-mata kerana mereka gagal mendapat jawatan.

Dengan kata lain kegagalan Tan Sri Shahidan Kassim, Datuk Seri Idris Jusoh serta juga Mohd Nizar untuk kembali menjadi Menteri Besar menyebabkan penyokong mereka mengkritik, malah ada yang sampai mencerca Raja.

Baru-baru ini, panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Mohammad Nizar daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mempunyai kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Mohd Nizar menyifatkan keputusan berkenaan merupakan petanda 'hitam' dalam sejarah Malaysia kerana beliau mendakwa institusi kehakiman di negara ini masih belum bebas daripada sebarang pengaruh."Ini merupakan satu petanda yang amat hitam dalam sejarah Malaysia kerana kita merasakan bahawa rakyat mahu melihat bahawa intitusi kehakiman di beri ruang sebebas-bebasnya untuk membuat keputusan. Tapi keputusan ini seolah-oleh memberikan gambaran bahawa institusi kehakiman masih lagi belum terlepas dan bebas daripada apa-apa pengaruh," katanya.

Jelasnya kemelut politik di Perak tidak akan selesai sehingga rakyat diberikan hak untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

Bagi saya, tiada siapa yang mampu mempertikaikan bahawa pilihan raya semula akan menentukan siapa akan berkuasa sama ada di Perak, Terengganu atau juga Perlis.

Cumanya, di Perak adalah kes straightforward apabila Barisan Nasional (BN) akan berdepan pembangkang.

Bagaimana di Terengganu dan Perlis?

Rasanya kedua-dua negeri ini bukan sahaja akan BN akan berdepan pembangkang tetapi juga sabotaj daripada ahli UMNO sendiri.

Di Terengganu, pada pilihan raya kali ini dijangkakan akan ada permainan cah keting khususnya di kalangan yang belum-belum puashati dengan Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Antara perkara-perkara yang dijangka akan menyebabkan berlakunya kejadian berkenaan termasuklah siapa calon yang akan bertanding. Calon yang dipilih akan mencerminkan kehendak parti dan kepimpinan negeri.

Persoalannya apakah wakil rakyat yang menentang kepimpinan negeri sekarang akan dipilih semula atau akan digantikan?

Juga siapakah penentu calon nanti? Apakah Ketua-ketua Bahagian mempunyai kuasa melantik atau semata-mata ditentukan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri?

Apakah Ahmad Said akan dicalonkan semula atau digugurkan seperti berlaku sebelum pilihan raya 2008? Apakah aka nada bantahan-bantahan terhadap calon yang akan dipilih?

Di Perlis, soal pemilihan calon dan apakah menteri besar sekarang akan dikekalkan juga menjadi persoalan. Beberapa akhbar mingguan sedang memainkan cerita kononnya menteri besar akan ditukar dalam tempoh terdekat.

Seperti Ahmad Said juga, kedudukan mereka sering dipersoal dan tempoh berapa lama akan menjawat jawatan berkenaan sering diperkatakan.

Persoalan di sini ialah apakah pemimpin UMNO dan sekumpulan yang menentang kepimpinan negeri ketika ini sanggup berdepan dan ‘mempersoalkan’ keputusan istana dalam melantik mereka itu?

Bagaimana kita mengharapkan kaum lain menghormati Raja-Raja Melayu sendiri jika pemimpin Melayu sendiri mempertikaikan keputusan Raja?

Saya juga hairan bagaimana orang seperti Mohd Nizar serta kumpulan yang menyokong pihak tertentu di Terengganu dan Perlis yang menganggap dirinya Melayu tetapi terus menerus mempersoalkan keputusan Sultan Perak.

Apakah hanya kerana bos mereka tidak dapat menjadi Menteri Besar dan sebab-sebab politik sanggup terus mencerca dan mempersoalkan keputusan Raja Melayu?

Lebih menyedihkan ketiga-tiga yang dinista itu adalah dua bekas Yang DiPertuan Agong dan Sultan Mizan Zainal Abidin ketika ini adalah masih Yang DiPertuan Agong.

Jenis Melayu apakah mereka ini?

Wednesday 10 February 2010

PERBICARAAN KES SMS UGUT BUNUH ADUN - AHMAD RAMZI

Adun Paka dan Permaisuri Akui Terima SMS Ugutan

KUALA TERENGGANU, Rabu (10-2-2010) :(TEGANU KINI) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, YB Haji Mohd Ariffin Abdullah, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, jam 11.21 malam pada 13 April, tahun lalu.

Beliau merupakan saksi kedua kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Adun Paka itu memberitahu mahkamah beliau berada di Hotel Felda Ressidence, Kuala Terengganu semasa menerima SMS tersebut yang dihantar melalui telefon menggunakan nombor 019-9158369.

“Pada peringkat awal saya hubungi kawan-kawan saya bagi memaklumkan perkara itu dan menghantar salinan SMS tersebut kepada YB Datuk Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar).  Saya juga memaklumkan kepada YB Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) dan Datuk Dr Ramzi untuk memaklumkan mengenai SMS ugutan tersebut. Selepas menyemak dengan Dr Ramzi bagi mendapat maklumat mengenai siapa penghantar SMS itu, Dr Ramzi memberitahu saya nombor itu milik Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda) .

“Untuk mendapat kepastian, saya turun dari bilik untuk mengambil diari dari kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan hotel dan saya mendapat pengesahan nombor itu milik SUSK,” katanya.

YB Mohd Ariffin memberitahu mahkamah pada peringkat awal beliau berasa biasa saja apabila menerima SMS tersebut sebab beliau tidak tahu siapa penghantarnya.

Bagaimanapun, katanya, selepas itu timbul perasaan takut apabila beliau mengetahui identiti pengirim SMS berkenaan berdasarkan kedudukan penghantarnya dan scenario politik negeri Terengganu pada masa tersebut.

“Selepas itu saya telefon Dr Ramzi dan beliau datang ke bilik saya dan kemudian saya telefon YB Halim Jusoh (Adun Permaisuri),” katanya.

YB Mohd Ariffin berkata, selepas itu beliau mendapat pengesahan daripada YB Alias Abdullah (Adun Alor Limbat) bahawa terdapat unsur ugutan dalam SMS tersebut.

Katanya, YB Alias kemudiannya menasihatkan beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berhubung kejadian tersebut (SMS ugutan).

Menurutnya, dari hotel Felda beliau terus ke IPD Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis berhubung SMS itu, bersama-sama dengan YB Halim dan Dr Ramzi.

Beliau membuat laporan polis pada jam 12.55 pagi pada 14 April 2009 dan didapati ramai wartawan berada di IPD Kuala Terengganu pada waktu itu.

“Saya tidak tahu siapa yang panggil wartawan datang ke balai polis,” katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya siapa yang panggil wartawan datang ke situ.

YB Mohd Ariffin bagaimanapun mengakui beliau dan YB Halim membuat sidang akhbar di IPD Kuala Terengganu bagi memaklumkan kepada wartawan berhubung kejadian tersebut.

“Selepas membuat laporan polis saya terus balik ke bilik hotel,’ katanya sambil memberitahu bahawa selepas itu pihak polis merampas telefon bimbitnya pada 4 Mei 2009.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 019-9186181 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah dan disahkan oleh saksi kedua itu.

Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya memberitahu Hakim M Bakri Abdul Majid bahawa Haji Wan Ahamad Wan Muda akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding akan datang.

Menjawab soalan peguambela selepas itu, YB Mohd Ariffin berkata, beliau membalas balik SMS yang dihantar kepadanya dengan bertanya “Siapa Ni?”, tetapi pemilik telefon bimbit berkenaan membalas balik “Sorry, wrong number”.

Katanya, beliau ada membuat panggilan kepada nombor telefon berkenaan menggunakan telefon isterinya, tetapi tidak dijawab walaupun ada nada panggilan.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau yakin SMS itu dihantar dari nombor 019-9158369 dan perasaan takut timbul memikirkan sebelum ini macam-macam berlaku dalam politik, termasuk kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Dr Mokhtar Hashim.

Tambahan pula, katanya, sebelum itu Harakah melaporkan bahawa Adun akan membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

“Saya juga terpandang berita kaki dalam TV3 atau TV1 mengenai amaran Menteri Besar kepada ADUN yang akan mengemukakan usul undi tidak percaya,” tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, YB Ariffin berkata, beliau tidak dapat menerima jika dikatakan SMS berbau ugutan itu datang dari Dr Ramzi.

“Jika ia datang dari Dr Ramzi saya anggap ia satu gurauan sahaja,” katanya yang membuat laporan polis berhubung SMS itu kira-kira 15 minit selepas bertemu Dr Ramzi.

Sementara itu, saksi ketiga, YB Abdul Halim Jusoh (Adun Permaisuri), memberitahu mahkmah beliau berada di Gong Badak semasa menerima SMS berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB jika YB sayangkan nyawa,”.

Beliau yang menggunakan telefon bimbit nombor 019-9859088 berkata, SMS tersebut diterima jam 11.30 pada 13 April 2009.

Katanya, beliau memberitahu Dr Ramzi mengenai SMS tersebut kerana tertuduh adalah rakan baiknya.

“Dr Ramzi beritahu YB Ariffin juga ada terima SMS yang sama seperti yang saya terima,” katanya yang membuat pengesahan SMS dihantar melalui telefon bimbit nombor +6019-9158369.

Selepas diberi peluang membaca semula SMS melalui telefon miliknya di mahkamah, YB Abdul Halim kemudiannya membacakan semula SMS berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”.

YB Abdul Halim berkata, setelah berbincang dengan Dr Ramzi dan YB Alias, mereka membuat keputusan untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu di IPD Kuala Terengganu.

Katanya, mereka tiba di IPD Kuala Terengganu lebih kurang jam 12 tengah malam untuk membuat laporan polis.

YB Abdul Halim kemudiannya memberitahu mahkamah telefon bimbitnya diserah kepada polis jam 7.10 malam pada 26 April 2009.

Pada sesi petang, saksi keempat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, YB Dato’ Rosol Wahid, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenali berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, lebih kurang jam 11.25 malam pada 13 April, tahun lalu.

Dato’ Rosol ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, beliau menjelaskan ketika SMS itu diterima, beliau sedang minum di sebuah kedai makan di Jalan 23 Kuala Berang-Kuala Terengganu.

Menurut beliau, SMS itu diterima dari penghantar yang tidak dikenali menggunakan nombor + 31234567890.

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau sejurus mendapat SMS itu, beliau menjelaskan pada mulanya tidak merasa apa-apa kerana nombor itu tidak diwakili oleh sesiapa.

Bagaimanapun, sejurus kemudian beliau menerima panggilan daripada YB Zakaria (Mohd Arifin Abdullah yang juga saksi kedua) yang menanyakan beliau sama ada menerima atau tidak SMS yang sama.

“Selepas diceritakan kepada saya yang dia menerima SMS ugutan dan saya maklumkan kepada beliau saya juga terima SMS yang sama. Bagaimanapun, saya menjelaskan SMS berkenaan saya terima dari nombor +31234567890, manakala dia terima SMS dari nombor berlainan daripada apa yang saya terima.

“Dia ada bagitau nombor tapi saya tak ingat nombor itu, cuma yang saya ingat nombor itu dimaklumkan kepada saya milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda),” katanya .

Selepas mendapat maklumat daripada YB Zakaria, beliau kemudiannya berpakat untuk membuat laporan polis berhubung SMS ugutan itu dan diminta oleh YB Zakaria supaya kes itu sama-sama dilaporkan di Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun membuat laporan di Kuala Berang memandangkan jarak yang jauh untuk ke Kuala Terengganu serta waktu yang sudah lewat malam ketika itu.

Dato’ Rosol yang merasakan SMS itu suatu ugutan dan boleh menyebabkan nyawa terancam selepas diberitahu identiti pengirim SMS berkenaan dan suasana politik negeri Terengganu ketika itu, membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 12.45 pagi di Balai Polis Kuala Berang..

Ketika diminta penjelasan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai senario politik ketika itu, beliau menjelaskan ketika itu Persidangan Dewan Undangan Negeri sedang berjalan dan ura-ura atau cakap-cakap yang mengatakan YAB Menteri Besar akan digulingkan melalui usul undi tidak percaya. Oleh kerana itu, mungkin ada kebimbangan SUSK mengenai perkara itu berlaku menyebabkan SMS itu dihantar.

Beliau kemudiannya tidak membuat apa-apa tindakan susulan selepas laporan polis dibuat pada malam kejadian (13 April) itu.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 012-9838307 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah sebelum disahkan oleh saksi keempat itu.

Dato’ Rosol memberitahu mahkamah, jika SMS itu dihantar oleh Datuk Dr Ramzi, beliau tidak berasa apa-apa dan tidak menganggap itu sebagai ugutan.

Beliau juga bersetuju bahawa SUSK merupakan orang yang rapat dengan YAB Menteri Besar dan disebabkan SMS itu ada kaitan dengan SUSK, jika undi tidak percaya itu benar-benar berlaku dan berjaya, maka kesan negatif kepada SUSK dan jika tidak berjaya, SUSK tidak akan mendapat apa-apa faedah.

Ketika menjawab soalan terakhir Timbalan Pendakwa Raya, Dato’ Rosol juga bersetuju bahawa SUSK tidak akan menjatuhkan Menteri Besar kerana beliau mencari makan dengan Menteri Besar.

Ahmad Ramzi sebelum itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terhadap beliau.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding sebelah pagi semalam (Selasa), Hakim M.Bakri Abd Majid memerintahkan supaya Ahmad Ramzi dibebaskan dan dilepaskan kerana pihak pendakwa mendaftarkan kes tersebut sebagai kes saman, sedangkan ia melibatkan kes jenayah.

Dr Ahmad Rmzi bagaimanapun didakwa semula atas tuduhan yang sama dan kes tersebut kini didaftarkan dibawah kes jenayah dan tertuduh kini perlu berada di dalam kandang mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Perbicaraan akan disambung pada 31 Mei, 2010

- TEGANU KINI

Tuesday 9 February 2010

PERBICARAAN KES SMS UGUTAN BUNUH ADUN - AHMAD RAMZI

Saksi Pertama Kenal Pasti Barang-Barang Kes

KUALA TERENGGANU, Selasa (9-2-2010): (TEGANU KINI) Saksi pertama kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu, diarah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, mengenal pasti semua barang-barang yang dijadikan bukti kes tersebut.

Saksi tersebut, Koperal Zolbahari Abd Manan yang tampil pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan bermula hari ini mengenal pasti 37 senarai barang barang kes yang dirampas berhubung kes dan diserahkan kepada beliau oleh ASP Mohd Hadzwan Zulkefle.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Koperal Zolbahari memberitahu mahkamah barang-barang yang diterimanya pada 30 April 2009 termasuk

Seunit telefon tangan (HP) Nokia 9300, seunit HP Nokia 1208, seunit HP Nokia 3200, seunit Mac Pro Xeen 64-A1, seunit Monitor Samsung Syncmaster 226 BW-A2, seunit WD external hard drive, sepasang speaker Sonicgear, seunit keyboard Apple Macro, seunit beg galas, seunit laptop Acer aspire, seunit HSDPA USB Modem, seunit Buffalo External Hard drive, seunit Kingston data traveler (2GB), seunit CPU, seunit wide screen LCD, seunit keyboard Samsung, satu set momo racing force feedback whell, satu set speaker Creative, seunit tetikus Qseen, satu unit Kingston data treveler (4GB), seunit monitor LCD Acer, satu set tetikus dan papan kekunci wireless Acer, satu set speaker sonicgear dan seunit tetikus Qsenn.

Manakala barang yang diterima pada 1 Julai 2009 pula berupa HP Nokia E90, HP Nokia 9300, HP E 71, HP Nokia E71, HP Apple IPhone, laptop Compact, seunit laptop Dell, seunit laptop ECER, seunit laptop Dell, seunit modem, seunit CPU Acer E1, satu USB modem dan seunit HP Nokia E90.

Semua barang kes berkenaan ditanda sebagai bahan bukti dengan ditanda satu persatu bermula dari nombor 1 hingga 37.

Shahidani kemudiannya meminta Zolbahari mengecam dan mengenalpasti barang kes satu persatu sambil pihak pendakwa menyemak barang kes yang disenaraikan bagi perbicaran kes itu.

Ahmad Ramzi sebelum itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terhadap beliau.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding sebelah pagi, Hakim M.Bakri Abd Majid memerintahkan supaya Ahmad Ramzi dibebaskan dan dilepaskan kerana pihak pendakwa mendaftarkan kes tersebut sebagai kes saman, sedangkan ia melibatkan kes jenayah.

Dr Ahmad Ramzi bagaimanapun didakwa semula atas tuduhan yang sama dan kes tersebut kini didaftarkan di bawah kes jenayah dan tertuduh kini perlu berada di dalam kandang mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.
-TEGANU KINI

Monday 8 February 2010

NIZAR ATAU ZAMBRY MB PERAK YANG SAH ?

(kemaskini)

ZAMRY /BN MENANG 5-0


Blog Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) melaporkan....Bertenanglah....keputusan kehakiman sudah dibuat.

Biarkanlah pilihan raya akan datang menentukan segala-galanya.

Selepas Mahkamah Persekutuan pagi ini sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dari BN adalah menteri besar Perak yang sah semua pihak seharusnya menerima keputusan dengan penuh kesyukuran.

Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Nizar diwakili oleh para peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Dr Zambry.

Solat hajat sudahpun dibuat dan ketentuan Allah ialah berpihak kepada Dr Zambry dan Barisan Nasional (BN), jadi terima sahajalah keputusan berkenaan.

Pagi ini, seramai 23 penyokong Mohd. Nizar mengadakan solat hajat di dataran perkarangan Istana Kehakiman dan bagi pihak Dr Zamry ia dibuat beberapa hari lalu.

Memanglah perasaan tidak puas hati akan tetap ada tetapi saluran yang sah pun ada. Proses mahkamah sudah digunakan dan selepas ini, gunakanlah pula proses pilihan raya untuk menentukan politik Perak.

Mungkin selepas ini akaan ada lagi solat khusus yang akan dibuat oleh kerajaan Perak dan Dr Zamry khususnya menandakan syukur kerana keputusan mahkamah itu.

Malaysiakini melaporkan, Istana Keadilan di Putrajaya, menjadi tumpuan sejak jam 7 pagi tadi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan pas masuk ke dewan mahkamah. Begitu juga penyokong BN dan Pakatan.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan hujah para peguamnya selama enam jam, tetapi telah menangguhkan keputusannya.

Sebelum itu, mahkamah telah menolak permohonan Nizar supaya panel penuh 11 orang hakim atau tambahan bilangan panel hakim, untuk mendengar kesnya itu.

BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak apabila tiga ADUN Pakatan rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Berikutan itu, Pakatan telah membawa perkara itu ke mahkamah.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa Nizar merupakan menteri besar Perak yang sah.

Zambry kemudiannya membuat rayuan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, dengan alasan hakim berkenaan telah gagal untuk mengambilkira keseluruhan bukti yang dikemukakan.

NIZAR ATAU ZAMBRY MB PERAK YANG SAH ?
Pada 8 Februari 2010 BERNAMA melaporkan bahawa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat hendaklah menerima keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung dengan kedudukan Menteri Besar Perak dengan tenang.

"Kita sebagai rakyat harus bertenang apabila menerima keputusan hakim itu esok. Oleh kerana itu adalah fungsi keadilan kita, jadi kita tidak harus menterjemahkan keputusan itu sekiranya tidak menepati perasaan kita kepada perbuatan yang kasar atau mengkasari atau mewujudkan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Pemimpin di Titi dekat sini, Isnin.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusan sama ada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) kekal sebagai Menteri Besar atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PKR-PAS, mendapat semula jawatan itu.

Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, berkata keputusan mahkamah adalah keputusan penghakiman dan rakyat harus akur terhadap apa jua keputusan.

Seterusnya HAMBALI dalam blognya RAKYAT MALAYSIA  melaporkan bahawa Ini bukan lagi teka-teki. Yang akan terjawab hari ini ialah Menteri Besar Perak. Datuk Seri Dr Dr Zambry Abdul Kadir atau Datu Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Lebih penting ialah penghakiman ini akan merungkai isu Perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada, dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Pada 13 Februari tahun lalu, Mohammad Nizar, 52, mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Zambry daripada menunaikan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada Mei tahun lalu, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut Perlembagaan.

Keputusan Mahkamah Persektuan tidak mungkin memuaskan hati sesiapa. Jika keputusan tidak memihak kepada Nizar, Pembangkang akan terus mempersoalkan kesahihan kerajaan negeri BN.

"Jika Dr Zambry menang, beliau mempunyai kira-kira dua tahun untuk membuktikan bahawa kerajaannya adalah kerajaan sah. Apakah Pembangkang akan menerima hal itu pada sidang dewan akan datang atau akan terus mencetuskan kacau bilau?.

Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya, hari ini dengan panel lima hakim, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff - membuat keputusan sama ada Menteri Besar daripada Bar:isan Nasional atau daripada pakatan DAP-PKR-Pas, mendapat semula jawatan itu.

Selain Alauddin, panel hakim berkenaan dianggotai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Panel hakim itu menangguhkan penghakimannya pada 5 November tahun lalu setelah selesai mendengar hujah peguam yang mewakili Dr Dr Zambry dan Nizar dalam kes berkenaan.

Ini rayuan peringkat terakhir bagi Mohammad Nizar dalam cubaannya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar Perak. Bagaimanapun, pihak yang kalah dalam sesuatu kes mahkamah, boleh memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan bagi mencabarnya berdasarkan hujah daripada sudut Perlembagaan.

Konflik berkenaan siapakah yang berhak menjadi Menteri Besar Perak, timbul tahun lalu apabila tiga wakil rakyat daripada pakatan DAP-PKR-Pas meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas dan menyebabkan kedua-dua pihak mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28, dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Januari dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian.

Berikutan perkembangan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang itu, supaya melepaskan jawatan Menteri Besar dan menitahkan Dr Dr Zambry mengangkat sumpah menduduki kerusi itu Februari tahun lalu, setelah mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Bernama dalam analisisnya menyebut ketika pemerhati di kedua-dua pihak menunggu-nunggu dengan penuh debaran keputusan mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah persoalan terus berlegar sama ada kedua-dua pihak akan menerima keputusan dan membolehkan isu berakhir.

Perak terjebak dalam situasi politik tidak menentu, dengan Dr Zambry dan Nizar masing-masing mendakwa sebagai menteri besar yang sah.

Penganalisis politik berpendapat, tidak kira apa jua keputusan, perbalahan yang berlaku antara kerajaan negeri sekarang di bawah BN dengan gabungan PAS-DAP-PKR dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) akan berterusan, setidak-tidaknya hingga pilihan raya akan dating.

"Jika Dr Zambry diisytiharkan sebagai MB yang sah, apapun PR akan terus tidak puashati. Ia akan mempersoal kebebasan badan kehakiman manakala pada waktu yang sama meuar-uarkan BN sebagai kerajaan sementara," kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.

Tetapi jika Nizar diisytiharkan menteri besar yang sah, beliau berkata ahli politik PAS itu mungkin memohon mandat baru tetapi ini akan bergantung pada sama ada dewan negeri boleh dibubarkan atau tidak.

Perak akan terus berada dalam situasi tidak menentu kecuali kedua-dua pihak bertolak ansur selepas keputusan mahkamah," kata Dr Sivamurugan, dan menegaskan kedua-dua pihak perlu memahami bahawa tidak wajar dibiarkan dilema ini berlanjutan.

"Jika Dr Zambry menang, beliau mungkin mempertimbang untuk berbaik-baik. Jika Nizar kalah, apakah beliau dapat menerima kerajaan negeri yang sah sehingga pilihan raya akan datang?" soal Dr Siva.

Pakar perlembagaan negara, Abdul Aziz Bari pula berpendapat, keadaan di Perak dijangka bertambah lebih rumit dan kusut jika keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

"Sekiranya, mahkamah memutuskan Nizar adalah Menteri Besar yang sah, esok, keadaan di Perak akan bertambah kusut,” kerana sejak setahun lalu, Dr Zambry banyak membuat keputusan semasa 'pemerintahan' Barisan Nasional.

“Keputusan yang memihak kepada Nizar akan menjadi keputusan-keputusan (Dr Zambry) sebagai tidak sah,” tegasnya. Situasi berkenaan sudah tentu akan menyaksikan keadaan yang kucar kacir di Perak dan menjejaskan keyakinan pelabur asing ke negeri itu.

Keputusan pentadbiran Dr Zambry, termasuk pembentangan bajet negeri baru-baru ini juga akan menjadi tidak sah.

Menurut hasil tinjauan yang disiarkan oleh Merdeka Centre, sebuah firma tinjauan pendapat, Jumaat lepas, ulangtahun pertama BN memerintah Perak selepas pilihan raya umum 2008, 46 peratus daripada mereka yang ditinjau pendapat menyokong Nizar sementara Dr Zambry berada di belakang dengan 44 peratus.

Nizar mempunyai kelebihan signifikan daripada Dr Zambry bila melibatkan masyarakat Cina (59 peratus untuk Nizar lwn 16 peratus untuk Dr Zambry) tetapi Dr Zambry mendahului pertandingan bila melibatkan sokongan Melayu, dengan mendapat 67 peratus berbanding Nizar 35 peratus.

Anggota exco negeri Perak Dr Mah Hang Soon berkata BN sedar sokongan daripada rakyat masih begitu berbelah bagi.

"Tetapi keadaan bertambah baik untuk kami, rakyat tidak menaruh sikap terlalu bermusuhan seperti dulu. Kami percaya jika kami terus bekerja keras dan membuktikan rancangan ekonomi kami, mereka akan menyokong kami...buktikan kami adalah kerajaan yang lebih baik," katanya.

Bagi Pembangkang, ia masih menganggap penyelesaian muktamad terhadap kebuntuan ini ialah menerusi pilihan raya baru.

"Tidak ada apa yang akan berubah kecuali diadakan pilihan raya baru. Saya tidak nampak mana-mana jalan lain.

"Apa juga keputusan mahkamah, ia tidak akan mengubah sentimen rakyat," kata pakar strategi DAP dan MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Analisis Malaysiakini pula menyebut, kedudukan kini menyebabkan 24 kerusi dianggap panas di Perak dan dikatakan kemungkinan akan menentukan samada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional akan berkuasa jika pilihan raya negeri diadakan dalam masa terdekat ini.

Kemelut politik di Perak dijangka bertambah kusut apabila mahkamah persekutuan membuat keputusan esok berhubung siapa yang sepatutnya menduduki kerusi menteri besar Perak.

Majoriti 24 daripada kerusi panas itu terletak di luar bandar dan juga pinggir bandar dan kebanyakan pengundi mereka terdiri daripada masyarakat Melayu.

Kerusi-kerusi itu juga dimenangi dengan hanya kelebihan kurang 10 peratus undi pada pilihan raya umum lalu. Justeru, perubahaan 5 peratus sokongan akan menyaksikan pertukaran kerusi di antara kedua-dua parti berkenaan.

12 daripada kerusi panas itu kini dimilik oleh Umno, menerusi BN manakala bakinya dipegang oleh Pakatan.

Terdapat 59 kerusi parlimen di Perak dengan Pakatan menguasai 31 kerusi manakala Barisan memegang 28 yang lain.

Adalah dijangkakan kebanyakan pengundi Melayu, khususnya di luar bandar akan kembali ke BN kerana Umno didakwa berjaya mengeksploitasikan isu “penderhaka” dan “boneka” terhadap menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan berkesan.

Bagaimanapun, diramalkan pula lebih ramai masyarakat Cina akan menyokong Pakatan manakala undi masyarakat India pula akan terus terbahagi dua.

Menurut sumber pada pilihan raya Bukit Gantang, tahun lalu, Pakatan mendapat tambahan 15 hingga 20 peratus undi daripada masyarakat Cina tetapi kehilangan 4 peratus sokongan pengundi Melayu.

Sekiranya trend berkenaan berterusan, PAS dikatakan agak teruk terjejas kerana ia lazimnya diperuntukkan kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

PKR juga menghadapi risiko kerana ia bertanding di kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi berbilang bangsa manakala DAP dijangka tidak menghadapi laluan sukar kerana ia bertanding di kerusi-kerusi yang majoritinya pengundi Cina

Friday 5 February 2010

IDRIS PUNCA KRISIS UMNO TERENGGANU.

( Tajuk Asal :PRU12 - Dipetik Terengganu Gelap Gambor (Sebelum dan Selepas) pilihanraya daripada http://terengganukini.blogspot,com)


Sebelum pilihanraya :Akibat pengguguran 12 muka lama termasuk bagi kerusi parlimen, bantahan terbuka beberapa ratus pengikut ketua-ketua bahagian Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu itu disifatkan "tidak pernah berlaku" dalam sejarah Umno negeri.

Minggu kedua kempen menyaksikan Umno kembali memerintah negeri itu dengan kemenangan selesa - mengekalkan 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh daripada lapan kerusi parlimen.

Di Semenanjung, kemerosotan undi BN di Terengganu kali ini paling sedikit, 1.2 peratus sahaja, berbanding pilihanraya umum 2004.

Berbeza dengan negeri-negeri di pantai barat yang menyaksikan kemerosotan ketara - antara 12 hingga lebih 20 peratus - sehingga menyebabkan empat negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Namun, kemenangan besar BN di negeri pantai timur tidak menguntungkan pengerusi BN, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.

Krisis pencalonan rupa-rupanya terus menghantui Idris apabila majoriti ketua bahagian tetap membantah beliau dilantik kembali sebagai menteri besar.

Krisis Idris dengan ketua-ketua bahagian kini muncul dalam bentuk ketegangan antara BN dengan istana - Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) tidak memberi perkenan kepada Idris, sebaliknya memilih Datuk Ahmad Said.

Seperti nasib Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis yang gagal dilantik semula sebagai menteri besar, surat sokongan Perdana Menteri kepada Idris kini tidak memadai - ada kuasa-kuasa lain yang boleh mencabarnya dan mengatasinya.

Sama ada kuasa itu di peringkat istana atau bahagian Umno, yang jelas ketua perhubungan Umno negeri kini tidak boleh mengharapkan sokongan presiden Umno semata-mata untuk dilantik mengetuai kerajaan negeri.

Ahmad, yang mengepalai bahagian Kemaman, termasuk tujuh ketua bahagian yang bertemu Idris di kediaman rasminya bagi menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka berhubung calon-calon BN menjelang 24 Februari, seorang ketua bahagian memberitahu Malaysiakini pada hari penamaan calon.

Pertemuan kedua mereka dengan Idris itu selepas beliau mengumumkan senarai calon beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Mereka mempertikaikan beberapa calon lama digugurkan tanpa sebarang perbincangan.

(Idris, beberapa hari kemudian, menafikan tidak pernah berunding dengan mereka dalam satu sidang media selepas bertemu Perdana Menteri. Beliau juga mendakwa senarai calon itu keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.)

Tidak tunai janji

Dalam pertemuan pertama, Malaysiakini difahamkan, Idris telah berjanji kepada semua bahagian bahawa nama mereka akan tersenarai dan mereka dikehendaki hadir di majlis pengumuman calon 20 Februari.

Bagaimanapun kejutan besar singgah di muka ketua-ketua bahagian yang hadir apabila nama mereka digugurkan - Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun) tidak tersenarai untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Selain mengetuai bahagian, Abdul Rahman, bekas timbalan menteri, dan Tengku Putera adalah ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menang dalam pemilihan pada 2004.

Turut tidak disenarai semula untuk bertanding, dua exco negeri: Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Wan Mohd Wan Hassan.

Paling menyakitkan apabila calon kerusi parlimen Marang digantikan dengan muka baru - tidak lain dan tidak bukan setiausaha Idris sendiri, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir - untuk mencabar presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhirnya kerusi parlimen itu, sememangnya kubu kuat PAS, jatuh kembali ke tangan Abdul Hadi - antaranya akibat undi protes dan sabotaj penyokong Umno.

Kerusi negeri Bukit Payong, yang disandang Dr Abdul Latiff tetapi digugurkan oleh Idris, jatuh ke tangan PAS.

Di Dungun, Dr Rosli digantikan dengan Matulidi Jusoh, dikatakan penyokong Idris.

Ahli parlimen lain yang digugurkan termasuklah timbalan ketua bahagian Kuala Nerus, Che Azmi A Rahman dan ketua penerangan bahagian Setiu, Mohd Yusop Majid.

Maka tidaklah menghairankan apabila beberapa ratus penyokong mereka, antaranya hadir dengan beberapa buah bas, mengadakan demonstrasi selama beberapa hari, termasuk di sebelah malam, di depan kediaman rasmi Idris.

Mengulas bantahan ini, Idris menyifatkan ratusan penyokong Umno ini sebagai "isteri sedang marah".

Tuntut talak tiga

"Orang tengah marah... macam isteri kita juga, kalau tengah marah, kita lawan tak bolehlah... kita dengar dahulu, kita cool down dulu. Kalau kita lawan sama, habislah periuk mangkuk berterabur," katanya.

Sekarang isteri bukan sahaja marah dan periuk mangkuk bertaburan, tetapi kelihatannya menuntut talak tiga!

Umno menang besar, jika dibandingkan negeri-negeri lain yang gagal menahan amukan badai "tsunami politik" 8 Mac, dan dugaan ramai tiada lagi isu di Terengganu.

Idris tentunya boleh terus berkuasa dan tidur dengan lena.

selepas pilihanraya :

Bagaimanapun jelas sekali, walaupun sebahagian besar pemimpin bahagian tidak lagi menjadi wakil rakyat, Umno menunjukkan kuasa sebenar mereka adalah berasaskan kekuatan politik di peringkat itu - akar umbi.

Tengku Putera, timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri, semalam mendakwa tujuh ketua bahagian sebulat suara menyokong Ahmad.

Tidak lama selepas itu, Rosol bagaimanapun menafikan bahawa Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (ketua Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu) menyokong Ahmad.

Namun kedua-duanya pula, seperti dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, enggan mengulas isu tersebut - dan tidak menunjukkan sokongan atau hentaman kepada Ahmad.

Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh, ketua bahagian Kuala Terengganu dan bekas setiausaha Abdullah, tentunya bersama presiden.

Berbekalkan watikah pelantikan , Ahmad  ke Wisma Darul Iman  memulakan tugas sebagai MB Terengganu.

APA DAH JADI DENGAN BEKAS SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU?

Kumpulan Penentang MB Terengganu semakin tersepit apabila tinggal tiga wakil rakyat sahaja lagi yang menyokong beliau. Rakyat pula sudah terlalu marah dan benci kepada kumpulan ini. Dari mula lagi rakyat marah kepada kumpulan ini dan berdiri dibelakang Seri Paduka Baginda Tuanku.

Buktinya amat jelas apabila lebih 50,000 rakyat berkumpul menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda Tuanku di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 30 Mac 2008 lalu, disamping mengutuk tindakan Idris dan rakan-rakannya. Pada masa itu juga gemuruh pekikan 'Daulat Tuanku' disamping ejekan ' ADUN Derhaka' juga kedengaran.

Kumpulan penentang amat terdesak sekarang ini. Mereka menggunakan Pengerusi Perhubungan UMNO sepenuhnya untuk memberi gambaran buruk Ahmad Said kepada Perdana Menteri. Dato' Seri Hishamuddin dikawal ketat oleh orang karektor di Terengganu. Sedangkan kedua-duanya tidak berpelajaran , jadi adalah amat tidak wajar tindakan Hishamuddin.

Hari ini seorang pegawai kanan TCS maklumkan  bahawa bekas SUK telah diperguna sepenuhnya oleh kumpulan penentang . Bekas SUK memaklumkan kepada Pegawai-Pegawai kanan bahawa pada bulan Mac ini Perdana Menteri akan adakan perubahan kabinet dan Ahmad Said juga akan dipecat. Beliau pula akan dikembalikan semula ke jawatan Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Bekas SUK bagaikan lupa kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang melantik Menteri Besar, bukannya Perdana Menteri !

Ini jelas kumpulan ini membodohkan bekas SUK dengan janji akan lantik semula beliau ke jawatan Setiausaha Kerajaan pada bulan Mac ini. Ini telah menyebabkan beliau bekerja kuat untuk memfitnahkan Ahmad Said. Sedangkan mengikut peraturan, pegawai yang bersara pilihan tidak boleh dilantik semula ke jawatan kerajaan.

Sebagaimana bekas SUK diperalatkan, ketua kumpulan penentang juga berjaya menggerakan dan memotovasi tiga ADUN  dengan teknik “ Pecah & Perintah” dengan memberi harapan kepada mereka yang mereka semua berpeluang menjawat jawatan Menteri Besar sekiranya Ahmad berjaya di undur.

Mereka telah berjaya mengapi-apikan ketiga-tiga penentang kononnya mereka adalah bakal Menteri Besar baru mengantikan Ahmad, yang akan sentiasa saja diletakkan tarikh bakal dipecat dalam masa terdekat !

Seorang diapi-apikan sehingga yakin dia boleh menjadi MB Terengganu kerana hubungan rapatnya dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Keduanya pula dikatakan ‘proksi’ DSIJ di Terengganu yang mampu memulihkan imej DSIJ dalam politik Terengganu, jika dia berjaya menjadi Menteri Besar.

Sementara itu, yang ketiga didakwa cukup berkeyakinan mampu menjadi MB Terengganu kerana dialah satu-satunya ADUN yang bukan ‘cap ayam’ . Khabarnya, beliau didakwa yakin Istana Terengganu tidak akan menolak namanya jika dicadangkan menjadi MB.

Mereka telah berjaya mengapi-apikan ketiga-tiga penentang kononnya mereka adalah bakal Menteri Besar baru mengantikan Ahmad, yang akan sentiasa saja diletakkan tarikh bakal dipecat dalam masa terdekat !

Seorang aktivis masyarakat Alur Limbat maklumkan  bahawa isteri salah seorang ADUN penentang sudah menempah berpasang-pasang pakaian sutera kerana yakin suami beliau akan jadi Menteri Besar sedikit masa lagi.

Sebenarnya Najib sendiri pun tidak kuat, betapa rapuhnya UMNO kini dengan peristiwa yang berlaku di Parlimen baru-baru ini, Bajet 2010 yang menelan belanja bilion ringgit hanyadiluluskan dengan suara lebih 3 undi , iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian yang telah dijalankan.

Kumpulannya yang kecil berani bertindak berterusan kerana tiada pihak yang ambil tindakan kepada mereka.

Perkara ini dapat diatasi sekiranya tindakan diambil kepada golongan ini samada tindakan disiplin dari pihak parti atau pihak istana tarik balik darjah kebesaran. Tindakan ini pasti menjadi pengajaran kepada mereka dan tidak akan berani menentang lagi.

Thursday 4 February 2010

SUTAN TIDAK TERIKAT DENGAN NASIHAT PERDANA MENTERI & MENTERI BESAR

Kedudukan Sultan dan Agong adalah mengatasi Perdana Menteri dan Menteri Besar dalam perkara yang berkait dengan kuasa Baginda, disamping tidak terikat dengan nasihat.

Di Perak, Menteri Besar  Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan.

Namun, Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menggunakan “Kedaulatan” baginda dengan titah untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta dan melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb 2009, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tindakan membawa isu perlantikan Menteri Besar Perak yang dilantik secara sah oleh Sultan ke Mahkamah  adalah satu penderhakaan kepada Sultan kerana perlantikan Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan.
Pada tahun 1962 DYMM Sultan Terengganu telah menolak permintaan Menteri Besar  untuk membubarkan dewan kerana pihak Umno boleh membentuk kerajaan dengan adanya Adun yang cukup setelah Adun PAS menyeberang ke pihak mereka. Akhirnya, pada 30 Oktober 1961, kerajaan PAS pimpinan Mohd Daud tumbang dalam satu undi tidak percaya.


Selepas PRU 12, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perlis menolak pengesyoran Perdana Menteri bagi melantik Dato' Seri Sahidan Kassim sebagai Menteri Besar, sebaliknya melantik Mat Isa Sabu sebagai Menteri Besar.

Sama halnya di Terengganu, apabila Sultan Terengganu menolak cadangan Perdana Menteri bagi melantik Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, sebaliknya melantik Ahmad Said ke jawatan berkenaan.

Di Johor pula, Tuanku Sultan mengarahkan Perdana Menteri bagi terus mengekalkan Ghani Othman sebagai calon Dewan Undangan Negeri bagi Pilihanraya UMUM ke 11 dan 12, khusus bagi membolehkan baginda melantik Ghani sebagai Menteri Besar.

Mengikut Dato’ Seri Utama Rais Yatim dalam berita minggu 8 Mac 2009 , seseorang Raja khususnya Yang di-Pertuan Agong mempunyai tiga kuasa besar yang tidak boleh diganjak mengikut Perlembagaan. Pertama, melantik seseorang Perdana Menteri mengikut perkara 43 (2a) Perlembagaan Persekutuan. Kedua, sama ada bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Parlimen dan ketiga, menguruskan perkara berkaitan hak-hak keistimewaan atau pun adat istiadat Melayu dan yang berkaitan dengan agama Islam. Ketiga-tiga kuasa mutlak ini juga ada pada Raja Melayu atau Sultan di negeri-negeri.


Kuasa diraja negeri Perak yang ada di bawah 16 (4) tadi didapati hanya ada di beberapa negeri. Dua daripadanya ialah Perlis di bawah Sesyen 39 dan Terengganu di bawah kuasa lama 1911 yang pada tahun 1948 dipinda dan menjadi kuasa mutlak bagi Sultan Terengganu. Dalam proses melantik seseorang Menteri Besar, Sultan di ketiga-tiga negeri ini berkuasa penuh untuk menentukan siapa yang baginda rasa wajar. Jadi kuasa ini dianggap kuasa tradisional. Kuasa turun-temurun dunia Melayu ini lagi dan selepas Inggeris mengaturkan pada 1948, di bawah Perjanjian Persekutuan Malaya 1948. Semua negeri Melayu mempunyai beberapa bidang pindaan kepada Perlembagaan yang ada. Jadi bagi negeri Perak, Perlis dan Terengganu khususnya mempunyai kuasa-kuasa itu.


Ini dapat diperkuat lagi dengan kenyataan "Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri," oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia telah disiarkan secara jelas dalam beberapa akhbar khasnya akhbar The Sun.

Wednesday 3 February 2010

ADA PEMIMPIN TERENGGANU BERSIKAP ‘ANJING GIGIT TUANNYA?’

Sumber : Hambali1.blogspot.com
Saya menerima satu email daripada seseorang yang bernama ayubb malam kelmarin yang membuat komen mengenai tulisan saya mengulas tindakan Aduka Taruna mahu atau bersedia meminta maaf dan didakwa.

Menurut komen penjenguk berkenaan, Aduka Taruna disifatkan sebagai seorang yang berjiwa besar dan berani mengakui kesilapan.

Kata ayubb:

Saudara Hambali,

Membaca posting tuan ini serta ulasan dalam blog http://teganukini.blogspot.com terpegun rasa saya apabila pencarian saya terhadap istilah Raja Berperlembagaan telah diberi jawapan. Kuasa Raja dijelaskan sejelas-jelasnya melaui pengesahan daripada Dato’ Seri Utama Rais Yatim, Dato’ Nazri Aziz dan Dato’ Noh Omar.

Beberapa hari saya telah cuba menghantar komen dalam blog tuan tetapi tidak berjaya, mungkin masalah kepada talian atau masalah teknikal yang lain.

Saya tidak hairan dengan tindakan Adukataruna, mungkin kerana dia masih mentah, pelajaran tidak sampai ke Universiti dah tidak cukup pengalaman dalam mengejar dan menarik pengunjung ke blognya.

Pengunjung yang ramai akan menambah rezeki kepada beliau apabila menjual ruang iklan dan menjual e-buku. Paling tidak dapat meningkat rezeki beliau dan mengelak beliau terjebak dengan aktiviti yang membawa beliau kejalan yang negatif.

Paling tidaknya Adukataruna seorang anak muda yang kreatif dalam usaha memajukan kehidupan beliau dan keluarga dewasa nanti !

Melihat dan menilai komen mengenai sikap Aduka Taruna ini saya menyepikan diri beberapa ketika.

Lantas terfikir oleh saya, bagaimana seorang yang tidak menerima apa-apa anugerah atau kedudukan sanggup meminta maaf sedangkan hakikatnya, beliau hanyalah orang biasa.

Seperti saya sebutkan dalam entri saya sebelum ini, pada ketika Aduka Taruna hanyalah orang biasa (tidak semestinya bebas mencerca Raja), namun di Terengganu, ada pembesar negeri dan bekas pembesar negeri yang pernah menerima anugerah kebesaran yang membawa gelaran Dato' atau Dato' Seri daripada orang yang mengurniakannya, mencerna balik badan tubuh berkenaan.

Mereka sanggup goncang pagar istana dan melakukan apa sahaja kerana tidak berkenan dengan perkenan Raja.

Apakah mereka ini tidak tahu mengenang budi atau memang jenis ‘kacang lupakan kulit’ atau ‘anjing yang menggigit tuannya?”

Ternyata Aduka Taruna menyerlahkan kehebatan dirinya apabila beliau meminta maaf secara terbuka di atas kesedaran diri sendiri dan dengan rendah dirinya beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan seluruh rakyat Johor khasnya di atas keterlanjuran beliau berkenaan dengan artikel yang disebut sebagai di luar norma kemanusiaan .

Bagi saya Aduka Taruna adalah seseorang yang berjiwa besar dan bernai bertanggunfjawab, bukan jenis lempar batu sembunyi tangan.

Dengan mengaku bersalah dan memohon maaf kepada seluruh warga Malaysia umumnya, warga Johor khasnya atas keterlanjuran beliau serta berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari masa ke semasa dan seterusnya menarik semula artikel yang diakuinya luar norma kemanusiaan itu dari blog beliau - menggambarkan betapa seorang insan tidak lepas daripada kelemahan tetapi selepas sedar kesilapan tahu meminta maaf.

Aduka Taruna bukan seperti sesetengah pemimpin Terengganu yang ‘buat muka tembok’ dan ‘tidak mengenang budi’.

Aduka Taruna bukan sekolah tinggi atau lulus cemerlang. Dia bukan jenis lulus dengan kepujian kelas pertama atau sebagainya.

Beliau juga bekas jenis pemimpin yang bertaraf global dan belajar di serata pelusuk dunia. Dia bukan lulusan sekolah bisnes atau peguam terkemuka. Dia bukan pemimpin Hadhari atau bertaraf Ulul Albab.

Aduka Taruna bukan jenis tidak reti meminta maaf – malah dia mlakukannya secara terbuka di atas keterlanjurannya – namun di Terengganu, ada pemimpin yang pernah menjadi penggerak kain rentang yang menggunakan perkataan ‘natang’ tidak reti untuk mengakui kesilapan.

Siapa ‘natang’ sebenarnya? Orang yang dituduh ‘natang’ atau mereka yang mencipta dan menggerakkan sepanduk ‘natang’?

Memalukan kerana beberapa kerat pemimpin Terengganu, termasuk urusetia kumpulan penentang istana ini kononnya seseorang yang begitu mahir dalam bidang agama.

Dia menunjukkan kemampuan yang utuh ketika berdepan dengan kepimpinan PAS khususnya dalam dewan undangan negeri dengan bacaan dan tafsiran Hadith dan Al-Quran. Biarpuan berpengalaman sebagai seseorang penting menjaga hal ehwal ugama namun ternyata apabila dia juga tidak reti atau tidak sedar mengenai sikap dan perangainuya yang menentang ‘pelindung’ agama Islam, apakah jenis manusia seperti ini?

Wajarkah dia berterusan bersikap demikian?

Lebih menarik, salah seorang pengikut kuat kumpulan ini walaupun memakai kebesaran Sultan tidak sampai ketahap Dato’ , tapi dia tahu undang-undang. Namun sebagai bekas dan berpengalaman sebagai penjawat awam dalam pentadbiran perundangan dan kehakiman, orang ini juga bagaikan ‘pekak badak’ dan tidak menghormati perlembagaan negeri dan persekutuan.

Seorang lagi yang tidak berpelajaran tinggi seperti rakan lain (berpelajaran pendek sahaja) tapi lebih menonjol kedepan. Kini heboh dinyanyikan ke seluruh pelusuk negeri kononnya beliau ini berpeluang cerah ke jawatan tertinggi negeri akibat hubungan yang rapat dengan kepimpinan pusat.

Lantas, seperti komen ayubb yang sengaja saya tidak siarkan di sini (kerana sebab-sebab tersendiri), lantas terfikir oleh saya - apakah mereka ini tidak malu dengan tindakan mereka kepada Sultan Terengganu apabila ada kalangan mereka yang memikul bintang tertinggi negeri yang dianugerah oleh Tuanku al-Sultan ?

Malah, dengan kebesaran itu, banyak kegunaan untuk mereka – setidak-tidaknya di pandang tinggi oleh rakyat kerana gelaran. Kalau tidak ada gelaran itu, mereka kini mungkin sudah masuk lubang cacing.

Yang nyata mereka perlu belajar daripada kehebatan Aduka Taruna yang sanggup minta maaf dan mengakui keterlanjurannya serta berjanji tidak akan mengulangi lagi keterlanjuran ini ! Rasanya tidak ada kerugian juka mereka mengikuti contoh Aduka Taruna !

Bak kata ayubb, dengan mengecam Sultan melantik Menteri Besar, selain menentang MB lantikan Sultan, tidak ada bezanya perbuatan itu dengan menentang Sultan.

Sekiranya berterusan begini mereka harus merasa malu dengan bintang kebesaran Sultan yang mereka bawa. Dengan gelaran mulia dan sebutan yang mulia dipanggil oleh rakyat kepada nama mereka, sewajarnya mereka menilai semula kedudukan mereka.

Jika berjiwa besar mereka harus meminta maaf dan memohon keampunan. Atau jika terus berdegil kembalikan semula panggilan ‘terhormat’ yang dianugerahi kepada mereka.

Jika enggan memohon maaf, mereka sebenarnya bukanlah berjiwa besar.

Jangan amalkan politik’baling batu sembunyi tangan’ dan sikap degil berterusan tidak akan membawa ke mana-mana kerana Sultan akan terus berdaulat.

Suka saya nasihatkan mereka, contohilah Aduka Taruna dengan kembali ke pangkal jalan. Sama-samalah berdiri teguh di belakang Tuanku Sultan sebagai mana ucapan yang pernah diutarakan bahawa UMNO junjung Perlembagaan, Raja Payung Negara dan Negeri.

Sebaliknya jika merasakan sengaja mahu ‘menentang Sultan’ teruskanlah dan bawalah pingat kebesaran itu ke seluruh pelusuk tanpa berasa malu sedikit pun kerana mereka memang ‘muka tebal’ dan ‘tidak tahu malu’.

Monday 1 February 2010

APA KAH UMNO MASIH RELEVAN ?

(TAJUK ASAL : TIADA AKTA BOLEH PERTAHAN SURVIVAL UMNO)
Daripada : http://teganuku.blogspot.com/).

Tiada sebarang akta yang boleh mempertahankan survival Umno sebagai parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini melainkan sokongan padu peringkat akar umbi, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata kekuatan perpaduan serta sokongan daripada anggota akar umbi akan menjadikan parti itu terus berpaksi sebagai wadah pembela nasib orang Melayu.

Umno, katanya, hanya mempunyai masa dua tahun lagi untuk menentukan survival parti dan dalam tempoh singkat itu, Umno tiada masa melayan perkara remeh-temeh atau kehendak sesetengah pihak.

"Lebih setahun kita menghadapi pilihan raya umum ke-12 dan di Terengganu sahaja, sudah lebih enam bulan melalui pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Adakah kita masih mahu fikirkan kepentingan diri sendiri? Kita kena bangkit dan suntik semula semangat dalam Umno khususnya di Terengganu.

"Bagaimana saya hendak jawab pada arwah bapa saya (Tun Hussein Onn) dan arwah bapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) sekiranya Umno berkubur satu hari nanti.

"Itulah saya katakan, Umno perlu sokongan peringkat akar umbinya sebagai tunggak kekuatan supaya terus berdiri teguh membela nasib orang Melayu," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hishammuddin berkata setiap anggota Umno memikul tanggungjawab besar bagi memastikan parti itu terus relevan kepada bangsa Melayu dan agama Islam untuk generasi akan datang.

"Sebab itu, walaupun di Kuala Lumpur ada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, saya tetap mahu berada di Terengganu untuk menyedarkan ahli kita betapa pentingnya kekuatan anda di saat kita berdepan ujian yang besar.

"Apa yang membimbangkan saya ialah musuh yang kita tidak nampak. Justeru, saya menyeru semua anggota Umno khususnya di Terengganu, berjuang dengan ikhlas dan jujur," katanya.

Beliau berkata tidak mustahil Umno boleh terus mempertahankan perjuangannya, selama-lamanya jika mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.