Tuesday 28 September 2010

Sudah Terang Lagi Bersuluh - Wan Ahamad Tidak Ada Kena Mengena Pun!

PERBICARAAN SMS UGUTAN BUNUH ADUN

Wan Ahamad dan Ahmad Said

Bahagian Akhir
(Sambungan Semalam)

Dalam perbicaraan SMS Ugut Bunuh tiga hari - 21, 22 dan 23 September 2010 lalu - Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong telah memberi keterangan mengenai sistem sms hebahan berkenaan kepada Mahkamah.

Mohd Latiff Kachong
Dalam demonstrasi sistem berkenaan kepada Mahkamah beliau telah menggunakan komputer riba , projektor dan layar serta sambungan internet milik Mahkamah.

Mahkamah telah meminta Mohd Latif menghantar SMS dengan cara yang sama sebagaimana laporan polis yang telah dibuat oleh tiga Yang Berhormat - YB Rosol Wahid (ADUN Ajil) , YB Zakaria Abdullah (ADUN Paka) dan Yb Halim Jusoh (ADUN Permaisuri) terhadap Wan Ahamad Wan Muda bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar yang berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?’ dengan menggunakan nombor telefon bimbit 0199158369 sebagai penghantar.

Apa yang menarik daripada sistem yang ditunjukkan di layar kepada Mahkamah oleh Mohd Latif, dihantar daripada telefon bernombor “0199158369” telah berjaya diterima Hakim, Pendakwaraya dan Peguambela.

Pertama, Mahkamah mengarahkan Mohd Latif menggunakan aplikasi sIstem sms hebahan kepada telefon bimbit nombor 0123234884 mesej berbunyi ‘Selamat Hari Raya’ dengan menggunakan nombor 3288612345 sebagai penghantar. Kali kedua, Mahkamah mengarahkan Latif menghantar mesej yang sama kepada telefon bimbit nombor 0129885072 yang dihantar dari nombor yang sama.

Kali ketiga, Mahkamah mengarahkan Latif menghantar mesej ‘Selamat Hari Raya’ kepada telefon bimbit nombor 0192753026 yang dihantar melalui telefon bimbit nombor 0199158369 ia itu numbor milik Wan Ahamad bin Wan Muda, yang kini merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Mahkamah juga telah mengarahkan Latif menghantar sms kepada telefon-telefon di atas menggunakan nama syarikat beliau iaitu ‘MobileBiz’ sebagai penghantar. Kesemua mesej yang telah dihantar kepada Mahkamah sama ada menggunakan nombor telefon termasuk nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad atau pun nama syarikat sebagai penghatar (sender ID) telah selamat diterima oleh pihak Mahkamah iaitu Hakim, Pendakwa dan Peguambela.
Mohd Latif memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (gambar kiri), iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu.

Sebelum itu dalam perbicaraan pada 9 dan 10 Ogos 2010, Hazwan salah seorang pemilik Syarikat Mobile Biz Network memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini merupakan sistem hebahan SMS yang dihantar dalam kuantiti yang banyak serentak yang hanya menggunakan platform internet tidak melalui telefon bimbit.

Hazwan juga memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini telah dibeli oleh seorang yang dipanggil Irwan (kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang ditahan polis bagi siatan kes ini) untuk kegunaan seorang tokoh politik menyebarkan kempen melalui sms .

Sistem yang dibeli ini tidak dikendalikan oleh beliau sebaliknya menyerahkan password dan ID kepada orang lain untuk kegunaan kempen pemilihan UMNO pada tahun lalu.

Pada 4 Jun 2009 Ahmad Ramzi telah ditahan Polis dan dituduh dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 500 kerana memfitnah Datuk Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad melalui laman web http://ownsn-sbiz.com/v1

Dalam keterangnya kepada Mahkamah, Hazwan telah menggunakan komputer riba, projektor dan layar serta sambungan internet milik Mahkamah bagi demonstrasi sistem ini.
Perkara menarik di sini:

Daripada keterangan Hazwan sebelum ini, jelas yang menghantar SMS Ugut Bunuh dan sebagainya bukan dilakukan oleh Wan Ahamad Wan Muda. Hazwan jelas mengakui sms dihantar melalui platform internet.

Anihnya nombor handphone 0199158369 milik Datuk Haji Wan Ahamad bin Wan Muda, Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu telah tiada dalam perkhidmatan kerana telah ditamatkan perkhidmatannya lebih setahun lalu. Fakta ini menjelaskan lagi sms berkenaan tidak dihantar melalui handphone milik Wan Ahamad tetapi melalui sistem hebahan daripada internet.

BUKTI INI LEBIH MENJELASKAN BAHAWA PENAMA (PEMILIK NOMBOR HANDPHONE BERKENAAN) TELAH DIFITNAH.

Kini kes ini semakin hampir kepada siapa penghantar, kepada siapa dan siapa pula mengarahkan agar SMS Ugut Bunuh itu dihantar.


Peristiwa ‘SMS Ugutan Bunuh ADUN’ ini telah merakam titik hitam dalam sejarah Dewan Undangan Negeri Terengganu apabila sepuluh ADUN menjadikan isu ini sebagai alasan untuk tidak hadir sidang. Rentetan isu ini juga membawa kepada perlantikan DS Ahmad Said ke jawatan Timbalan Pengerusi Perbubungan UMNO Negeri.

Dalam perbicaraan pada 26 April 2010, Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau dan keluarga tertekan selepas difitnah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau yang terkejut apabila didakwa menghantar SMS berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, kepada Adun berkenaan pada 13 April, tahun lalu, menafikan pembabitannya dalam penghantaran SMS tersebut.

“Saya rasa terkejut bila orang tuduh saya hantar SMS itu, tambahan pula ia mendapat liputan meluas di media massa.

“Anak-anak dan isteri saya stress (tertekan) kerana berita itu, tetapi saya suruh mereka bersabar dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam kes perbicaraan Dr Ramzi yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Wan Ahamad yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), berkata beliau meminta isteri dan anak-anaknya bersabar dengan berita yang tidak benar itu.

Dr Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin (Zakaria) Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan bersambung semula pada 26 hingga 28 Oktober depan.

Monday 27 September 2010

Wan Ahamad Tidak Ada Kena Mengena Pun!

PERBICARAAN SMS UGUTAN BUNUH ADUN

Bahagian Kedua (Sambungan Semalam)

Mohd Latif Kachong, Pengarah Urusan Mobile Biz Network

Seperti disebutkan pada bahagian pertama, Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong berkata, beliau meluluskan pengaktifan akaun untuk pelanggan bernama Irwan selepas diminta berbuat demikian oleh pemilik syarikat itu, Hazwan Abu Hassan.

"Hazwan meminta saya mengaktifkan akaun berkenaan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO. Selepas mengaktifkan akaun tersebut, saya menyerahkan nama akaun dan kata laluan kepada Hazwan. Saya tidak kenal siapa Irwan," katanya ketika menjawab soalan peguam bela di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid pada 22 September lalu.

Mohd Latif berkata, beliau juga tidak boleh memastikan sama ada sistem dan server aplikasi tersebut atau akaun milik Irwan itu telah digodam.

Katanya, pihaknya juga tidak mengawal dan menyelia server yang menempatkan aplikasi tersebut kerana ia diuruskan oleh syarikat lain.
 Antara pihak yang disebut kini ialah nama syarikat (OwnSms-Broadcast) , pelanggan (Irwan) serta pemilik (Hazwan).

Dan jangan lupa, akaun diaktifkan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO.

Siapa pemimpin atau pihak UMNO? Ini juga menimbulkan persoalan menarik untuk diperkatakan.

Siapa Irwan? Dia bekerja dengan siapa? Apa Dr Ramzi buat di Ibu Pejabat UMNO? Apa pula Dr Ramzi dan Idris Jusoh buat di Pejabat UMNO?

Apa pun jangan ganggu prosiding mahkamah. Akan diketahui juga akhirnya!

Amat jelas kini tumpuan mahkamah adalah antara pelanggan dan pemilik server aplikasi yang menghantar sms ugut bunuh berkenaan. Wan Ahamad kini hanya menjadi penonton dan menunggu untuk hakim mengatakan beliau bebas daripada tuduhan oleh Dr Ramzi.

Daripada penjelasan oleh pihak syarikat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran sms secara bulk dan juga pihak yang melanggan perkhidmatan ternyata ia memberikan gambaranb seolah-olah UMNO dan Ibu Pejabat UMNO terpalit dalam kes ini.

Namun ternyata Ibu Pejabat UMNO di mana Irwan bertugas bagaikan tidak ada 'apa-apa' dan seolah-olah kesalahan itu dilakukan oleh pihak di Terengganu.

Apa reaksi Ibu Pejabat UMNO mengenai Irwan? Sehingga ini 'kosong', Zero. Jika terus berdiam diri, apakah Ibu Pejabat UMNO juga mempunyai konspirasai dalam penghantaran sms Ugut Bunuh ini?
Jika tidak, pihak pentadbir Ibu Pejabat UMNO dari Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerjanya kenalah menjawab dengan siapa Irwan ini bekerja.

Semakin jelas, ada pihak yang menjadi dalang kepada tindakan kumpulan Geng 10 bertindak memulaukan sidang DUN. Cakap-cakap kononnya takut 'kena bunuh' adalah konspirasi semata-mata.

Juga, semakin jelas,  apa yang dibuat oleh Geng 10 sebelum ini, termasuk memulaukan Sidang DUN adalah amat hina dan memalukan. Tiga daripada anggota Geng ini membuat laporan polis mengenai sms Ugut Bunuh ini.

Kesan sms ugut bunuh ini bukan sahaja kepada Wan Ahamad, Ahmad Said dan Sidang DUN yang dipulaukan tetapi juga berkait dengan UMNO dan Idris Jusoh.

Hanya Allah yang akan menunjukkan siapa yang benar dan siapa yang salah dalam kes ini tetapi petunjuk akhir-akhir ini amat meresahkan mereka yang membuat tuduhan kepada Wan Ahamad.

Apa yang mahu dilakukan Wan Ahamad selepas ini hanya begitu yang tahu dan Allah yang mengetahui.

Diulangi di sini, antara pertuduhan dalam kes ini ialah Dr Ramzi dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Ikuti rumusan esok (Bahagian Akhir)

Sunday 26 September 2010

Wan Ahamad Tidak Ada Kena Mengena Pun!

PERBICARAAN SMS UGUTAN BUNUH ADUN

Bahagian Pertama:


Kes perbicaraan terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu kini semakin kurang mendapat perhatian wartawan di Terengganu.

Kenapa? Apakah kes ini tidak penting? Atau apakah wartawan Terengganu tidak minat dengan politik?

Yang nyata akhbar yang sering memberikan liputan kepada ‘penentang Datuk Seri Ahmad Said ‘ seperti Sinar Harian pun tidak ada lagi selera meliputi kes ini.

Ini jelas kerana pada perbicaraan pada 22 September lalu, hanya Bernama yang memberikan laporan penuh sedangkan akhbar lain bagai tidak mempedulikannya.

Akhbar utama seperti Berita Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia, Kosmo!, New Straits Times dan The Star sudah tidak bermaya dalam melaporkan kes ini.

Seperti diketahui umum, Dr Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 hingga 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dr Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Atau mungkin juga beberapa wartawan di Terengganu kini merasakan kes ini hampir kepada penghujungnya dan semakin terserlah orang yang dituduh menyebarkan sms ugutan bunuh itu tidak terbabit langsung.

Malah ada di kalangan wartawan tertentu yang sebelum ini beria-ia mengaitkan Wan Ahamad semakin mengunci mulut mereka kerana banyak perkara terpalit dan terpercik ke muka sendiri.

Malah bila diajukan dengan persoalan mengenai kes ini, mereka melarikan perbualan ke topik lain.

Perkembangan terbaru di mahkamah itu mungkin mengecewakan sebahagian mereka yang mahu melihat Wan Ahamad dipalitkan dan kemudian mengaitkannya dengan Ahmad Said.

Setidak-tidaknya jika Wan Ahamad yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dibabitkan, akan panjanglah cerita politik di Terengganu.

Wan Ahamad yang dilihat orang paling rapat dengan Ahmad Said jika berjaya disabitkan akan memberikan kesan besar kepada kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Yang pasti, pada perbicaraan 22 September itu, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu diberitahu bahawa akaun aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan untuk menghantar mesej berbaur ugutan bunuh kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu diaktifkan sebelum menerima pembayaran langganan.

Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong berkata, beliau meluluskan pengaktifan akaun untuk pelanggan bernama Irwan selepas diminta berbuat demikian oleh pemilik syarikat itu, Hazwan Abu Hassan.

Menurut Mohd Latif, pengaktifan sesuatu akaun itu sama ada belum atau telah menerima pembayaran langganan bergantung kepada budi bicara beliau.

"Hazwan meminta saya mengaktifkan akaun berkenaan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO. Selepas mengaktifkan akaun tersebut, saya menyerahkan nama akaun dan kata laluan kepada Hazwan. Saya tidak kenal siapa Irwan," katanya ketika menjawab soalan peguam bela di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mohd Latif memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Dr Ramzi iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu, 22 September lalu.

Friday 24 September 2010

Muhyiddin 'Berkorban' Untuk Idris Jusoh?

Membaca dua entri dalam blog citra-bangsa, penulis tidak pasti apakah benar bahawa Muhyiddin kini sudah bercium molot dengan Idris Jusoh.

Keduanya, benarkah Idris yang ditolak Tuanku Mizan Zainal Abidin itu kini dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional.

Bukankah jawatan ini selalunya dipegang oleh Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi (BN)?

Tak taulah, mungkin ini zaman Najib Razak – apa-apa sahaja boleh berlaku. Masa kecederaan UMNO katakan.

Masa kecederaan ini apa-apa boleh berlaku. Cumanya kalau masa ini UMNO atau Najib silap buat perhitungan, bukan sahaja Terengganu melayang tetapi juga mungkin Putrajaya. Akhirnya Najib dan Muhyiddin tetap jadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tetapi bukan lagi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kita nantikan pengumuman mengenai kedudukan Idris Jusoh yang bukan sembarangan pemimpin tetapi seseorang yang sering mendabik dada dialah yang terbaik dan orang lain semuanya ‘cap ayam’.

Apapun kita baca dulu dua entri citra-bangsa itu dan buatlah penilaian sendiri!

Kekeke …Idris Jusoh Penyokong Muhyiddin? Bila Pulak

Oleh Malek Saiful Muda ( Khamis, 2010 September 23)

SAYA tertawa. Saya membaca komen terhadap satu tulisan mengenai Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden Umno dikatakan sudah menjadi ‘orang kesayangan’ Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu yang sudah ‘seperti orang gila talak’.

Yang membuat komen mengatakan ketika berlaku pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden U
mno, beberapa tahun lepas, Umno Bahagian Besut yang diketuai Idris Jusoh mencalonkan Muhyiddin sedangkan Umno Bahagian Kemaman, yang diketuai Datuk Seri Ahmad Said mencalonkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Inilah kelebihan Idris. Dia pandai ‘berlakon’. Lakonannya Nampak macam real. Mulai bila pula Idris mula menyokong Muhyiddin?
Baguslah kalau Idris dapat memperdaya Muhyiddin kerana Idris menyokong Muhyiddin ketika dia dah Nampak Muhyiddin boleh menang kerusi nombor dua dalam hirerki kepimpinan Umno.
Itulah sebabnya, bila Idris didakwa mengetuai Geng 10 atau 10 Budak Hitam dalam Umno Terengganu, Muhyiddin tidak berani mengambil tindakan kerana Idris sudah menjadi ‘penyokongnya’.
Cuba Muhyiddin ingat kembali bagaimana Idris menolak dari mencalonkan dirinya ketika dia mahu bertanding dalam tahun 2000 dahulu. Dia tidak mahu mendnegar pun nama Muhyiddin dicalonkan.


Ketika itu dia salah Tan Sri Dr. Mohd Yusof Nor yang mengetuai Umno Besut ketika itu tetapi di peringkat Negeri Terengganu, sebenarnya Idris lebih berkuasa dari Yusof Nor. Dia memang tak suka Muhyiddin. Idris memang pandai ‘pusing’ dalam bab ini.

Jadi, bila ada pembaca yang mempertahankan Idris dalam isu mencalonkan Muhyiddin, saya tertawa. Saya tertawa dan bukan ketawa. Tertawa dan ketawa adalah dua perkataan yang berbeza…sama bezanya antara Idris dengan Ahmad Said. Macam langit dengan bumi.

Rakyat Terengganu bertuah mendapat seorang Menteri Besar seperti Ahmad Said yang banyak turun padang dan mendekati rakyat berbanding dengan Idris yang asyik berbangga dengan cerita tamdun…seolah-olah dia sahaja yang bertamadun sedangkan orang lain tidak.

Dia hancurkan Umno Terengganu dengan ‘mengorbankan’ hampir semua ketua bahagian dari menjadi calon dalam pilihan raya. Akhirnya, dia dijatuhkan oleh Allah SWT dengan keadaan yang cukup hina…hingga ada budak-budak yang dikatakan budak-budak dia, mengoncang pintu pagar istana.

Kita sama-sama tengok, apakah dengan sokongan Idris, Muhyiddin Yassin akan melangkah jauh dalam politik? Atau dengan kehadiran Idris menjadi penyokong Muhyiddin akan menyingkatkan lagi jangka hayat Muhyiddin dalam parti dan kerajaan.

Idris Jusoh bukan orang yang boleh dipercayai dalam politik. Itulah sebabnya, ada cerita boikot Dewan Undangan Negeri Terengganu dan ada cerita SMS bernada ugutan….siapa yang terlibat….tanya kepada Idris Jusoh

Dicatat oleh citra-bangsa di 11:25 0 ulasan

Muhyiddin terlalu percaya Idris Jusoh

Oleh Ahmad Hj Ishak (Rabu, 2010 September 22)

BETULKAH Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin terlalu percayakan bekas Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh hingga beliau menyakinkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya bersetuju melantik Idris menjadi pengarah IT pilihan raya.


Khabarnya, Idris sudah melantik ‘juak-juaknya’ untuk bekerja dengannya, dengan elaun yang ‘boleh tahan’ sudah pun membuat laporan untuk Negeri Terengganu.


Tentulah Idris seronok bila tugas dan jawatan itu diserahkan kepadanya kerana ‘inilah peluang’ dia untuk kembali berkuasa di Terengganu dan menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.


Khabarnya, dalam masa terdekat, Idris akan diberikan kedudukan sebagai ‘menteri’, jika Najib termakan cerita Muhyiddin.


Apa yang terlalu hebatnya Idris hingga Muhyiddin terpengaruh dengan cerita dan kertas kerja Muhyiddin? Apakah Muhyiddin lupa, ketika dia terkejar-kejar mencari pencalonan untuk bertanding jawatan naib Presiden 10 tahun dahulu, Idris yang ketika itu berkuasa di Bahagian Besut enggan mencalonkan Muhyiddin.

Malangnya, apabila Muhyiddin menang, Idris yang tidak disukai pihak Istana Terengganu berjaya menyakinkan Muhyiddin bahawa dia adalah pakar kepada pilihan raya – padahal, di tangan Idris, jika bukan kerana pengaruh ketua-ketua bahagian, Terengganu hampir-hampir tewas.

Najib kenalah bertegas dengan Muhyiddin dalam hal ini, kerana jika tidak, habislah Umno dan BN hanya dimainkan dengan lagu-lagu lama, tamadun dan paling menarik, bekas Setiausaha Politik Idris yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana kes SMS ugutan, dikatakan menjadi orang penting dalam kumpulan Idris Jusoh ini. Muhyiddin nak ke mana dalam politik ni sebenarnya?

Dicatat oleh citra-bangsa di 09:35

Wednesday 22 September 2010

Apa Tidak Kena Dengan Ahmad Said?

Sambungan rencana mengenai POLITIK TERENGGANU : APA SEBENARNYA?


Disebutkan pada entri kelmarin bahawa apabila dilantik Menteri Besar Mad Said mengharapkan sokongan dan perhatian daripada rakan-rakan ADUN dan Ketua Bahagian. Namun pada peringkat awal perlantikannya, Mad Said berada pada kedudukan 23-0.

Apa yang tidak kena dengan Mad Said sehingga di peringkat negeri ADUN-ADUN ini menolaknya secara total sementara di peringkat Pusat, ada yang menyamakan Ahmad Said sebagai ‘nangka masak yang akan jatuh berdebab ke bumi pada bila-bila masa’?

Apa sebenarnya yang TIDAK KENA dengan Mad Said?

1. Mad Said bukan kelibat MB

Mad Said bukan tokoh Menteri Besar. Gaya Mad Said bukan gaya Menteri Besar. Mad Said tak ada stail nak jadi Menteri Besar. Itu kata bomoh dan pawang politik. Mad Said bukan high profile macam Rasol Wahid atau Din Adam atau Alias Abdullah. Dia juga bukan Awang Tera atau Rahin Said.

Seperti disebutkan sendiri oleh Mad Said bahawa beliau ‘lawa tiada, manis ada’. Malah Mad Said juga sering ‘mengatakan dirinya sendiri’ dan sedar beliau ‘jongang’ dan bukanlah smart seperti Exco atau ahli politik Terengganu yang lain.

Jadi, apabila Mad Said dilantik sebagai Menteri Besar, pihak yang tidak berpuashati mengatakan inilah yang tidak kena dengan perlantikan Menteri Besar itu. Tak ada tokoh MB.

Tetapi tiba-tiba dilantik sebagai Menteri Besar. Siapa kita untuk mempertikaikannya? Menyalahkan Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana memilih Ahmad Said?

2. ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu Tidak Sebulu Dengan Mad Said?

Semua tahu ADUN yang bertanding pada pilihan raya umum 2008 adalah pilihan Idris. Kalau diibaratkan pasukan bolasepak, Idris sebagai Pengurus Pasukan membeli dan menentukan pemain untuk pasukannya. Tiba-tiba dia dipecat dan penggantinya Mad Said terpaksa melatih dan mengurus pemain yang sedia ada tanpa boleh membeli yang baru atau menukarnya.

Sudah pasti pemain berkenaan loyal dengan pengurus lamanya dan Mad Said berdepan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan. Lebih menyulitkan Idris sebagai pengurus begitu high flyer bertaraf Jose Maurinho yang mengecapi kejayaan di FC Porto, Chelsea, Inter Milan di kini di Real Madris. Mad Said pula pengurus biasa yang dilantik berdasarkan keupayaan sekadar kejuaraan liga biasa. Dengan kata lain potensi dan keupayaannya belum teruji. Apakah wajar dia terus dipersalah atau dikritik berterusan?

Mahu tidak mahu, Mad Said berdepan dengan pelbagai masalah dan perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah pengurusan politiknya. Apakah bentuk pengurusan yang perlu dilakukannya?

Perkara ini akan diperkatakan dalam bahagian-bahagian yang berikutnya.

3. Perlantikan EXCO

Selepas dilantik menjadi Menteri Besar, menjadi tugasnya melantik Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Dengan kata lain, kini Mad Said perlu melantik siapa kapten, penolong kapten, meletakkan pemain di posisi sesuai dan banyak lagilah.

Namun hakikat yang perlu diterima ialah, dengan pemain yang ada itulah beliau perlu mengurus dan menjamin pasukannya menang.

Apapun, Ahmad Said tidak meninggalkan terus bekas pengurus. Beliau mempelawa Idris untuk menjadi Exco tetapi Idris menolaknya. Langkah Idris adalah tepat kerana tidak mungkin dia mahu menerima jawatan yang lebih rendah daripada jawatan lamanya. Namun di pihak Mad Said begitu jelas menghormati Idris.

Oleh kerana tiada jawatan lain lebih tinggi, lagipun kerusi Menteri Besar hanya satu, Mad Said tidak boleh menyerahkan kerusi itu kepada Idris atas dua fakta – Idris sudah ditolak oleh istana dan Mad Said perlu memenuhi titah dan berkhidmat untuk rakyat. Beliau harapan Tuanku Mizan!

4. Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu tonjolkan hukuman untuk Mad Said

Mad Said tidak pernah lupa bahawa kuasa dan pengaruh Idris dalam UMNO Terengganu begitu besar. Di mana-mana juga orangnya.

Apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) membuat rombakan drastik dalam badan tersebut pada 22 Januari 2000, Pak Lah melantik muka baru - Idris (ketika itu Datuk) sebagai timbalannya. Walaupun Idris menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan pengerusinya dipegang Pak Lah, banyak perkara membabitkan UMNO Terengganu diserahkan kepada Idris.

Dengan kata lain, antara tahun 2000 hingga 2004 hingga Idris dilantik sebagai pengerusi perhubungan yang baru, hakikatnya Idrislah Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Jadi apabila Mad Said dilantik sebagai Menteri Besar, Majlis Tertinggi (MT) UMNO boleh mengekalkan jawatan kepada Idris atau sesiapa juga yang difikirkan mampu menerajui UMNO Terengganu. Kekuatan politik Idris yang mendapat sokongan UMNO Pusat terpancar apabila dia mengatakan enggan melepaskan jawatan berkenaan pada...

Namun MT membuat keputusan bahawa Mad Said perlu dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar pada 14 Jun 2008 menggantikan i Idris Jusoh yang melepaskan jawatan itu sebulan sebelumnya. Menurut Pak Lah yang ketika itu Presiden UMNO, pemilihan Mad Said dibuat berikutan kedudukannya kini selaku Menteri Besar Terengganu.

Namun itu hanya sementara.Pada 24 April 2009, setelah Datuk Seri Mohd Najib Razak menjadi Presiden UMNO, Mad Said digugurkan dan tempatnya diambil alih oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Amat jelas bahawa MT melihat ada yang tidak kena kepada Mad Said yang wajar digantikan!

Mad Said ‘dihukum’ kerana kemelut politik Terengganu berterusan dan Hishamuddin adalah ‘lampu ajiab’ untuk mengatasi kemelut itu.

5. Pemilihan Parti & Ketua Bahagian

Mad Said menjadi Menteri Besar pada ketika UMNO mahu mengadakan pemilihan. Mahu tidak mahu, Mad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri seboleh-bolehnya tidak mahu ada pertandingan. Bahaya pertandingan ialah boleh memecahbelahkan parti dan pentadbiran UMNO. Namun siapa Mad Said mahu menyekat mereka? Pemimpin UMNO di bahagian-bahagian bagai hulubalang.

Lagipun, isyarat yang ditunjukan di bahagian-bahagian begitu terserlah akan wujud pertanding besar-besar di Setiu, Hulu Terengganu, Marang serta Dungun.

Apa yang diramalkan amat tepat. Pertandingan bahagian menjadi ‘bebanan’ kepada Mad Said dan nasihatnya supaya tiada pertandingan tidak dihiraukan. Sebenarnya inilah pembayang atau permulaan kepada kemelut politik Terengganu selepas ini.

Perincian peristiwa dan kesannya akan diperkatakan pada Bahagian Kedua sebelas ini.

6. UMNO Terengganu

Mad Said Ketua Bahagian Kemaman. Jauh dari Kuala Terengganu. Banyak orang mengatakan Kemaman lebih rapat dengan Kuantan seperti Besut rapat dengan Kota Bharu.

Apabila Mad Said menerajui UMNO Terengganu, ada ‘mulut jahat’ mengatakan Mad Said hanya mementingkan bahagiannya. Namun orang lupa bahawa kedudukannya yang kuat di bahagian – menang tidak bertanding seperti juga Idris di Besut dan Datuk Wan Ahmad Farid ( di Kuala Terengganu akan membolehkan beliau menumpukan tugas negeri dengan lebih baik dan lebih yakin.

Namun, UMNO Terengganu yang dilihat tidak stabil oleh MT dan beberapa pemimpin UMNO Pusat menjadi punca Mad Said hilang ‘pengawalannya’ di Terengganu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak percaya dengan bisikan pihak tertentu bahawa Mad Said gagal mengawal kemelut politik Terengganu.

Mat Said pegang Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu hanya tujuh bulan pada ketika kedudukannya sebagai Menteri Besar diserang daripada setiap sudut dan beberapa Bahagian UMNO Terengganu pula bergelut dengan kesan pemilihan.

Yang kalah dalam pemilihan boleh dikatakan rata-rata adalah ‘anak buah Idris’ – kecuali Marang – lebih memberi tekanan kepada Mad Said untuk memulihkan pertelingkahan. MT melihat ada orang lain lebih baik daripada Mad Said – Hishamuddin – yang mampu mengatasi kemelut.

Sehingga entri ini ditulis, kemelut politik Terengganu belum selesai dan yang berusaha menyatukan kembali pemimpin yang bertelagah adalah banyak diusahakan Mad Said.

Namun, Hishamuddin tetap dilihat sebagai penyelamat dan tinggallah Mad Said sebagai orang yang ‘serba tidak kena’ dalam konteks UMNO Terengganu hingga setakat ini.

7. UMNO Pusat

Mad Said dilihat gagal dalam tugasnya menjamin kemenangan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Mad Said juga dilihat gagal mengatasi kemelut politik Terengganu – sebahagian besar diakibatkan penentangan terhadap perlantikan beliau – menyebabkan Hishamuddin dihantar sebagai ‘lampu ajaib’ menyelesaikan kemelut.

Persepsi UMNO Pusat ialah selagi kemelut tidak berakhir, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tidak akan dipulangkan. Bagi yang mahu melihat Mad Said tidak memegang teraju UMNO negeri, adalah baik jika mereka meneruskan kemelut politik di Terengganu. Ini kerana jika MT merasakan Terengganu sudah kembali stabil, Mad Said akan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO.

Bagi yang ‘bengang’ dengan Mad Said, cara terbaik ialah terus menerus ‘kacau’ politik Terengganu dan memberikan impression kepada UMNO Pusat bahawa kemelut politik Terengganu belum reda. Amat nyata peranan kumpulan yang turun naik Kuala Terengganu – Kuala Lumpur/Putrajaya akan terus ‘penting’ selagi Najib sendiri percaya atau terpengaruh dengan maklumat palsu dan sengaja mempamirkan kononnya Mad Said terus dibenci dan tidak akan mampu mentadbir dan menguruskan UMNO Terengganu.

SEBENARNYA? Kumpulan yang membawa berita dan memberikan impression kelemahan mad Said adalah mereka yang tidak percayakah kepada Qada dan Qadar.


Sebagai orang Islam, kita tidak wajar mempersoalkan hukum dan ketentuan Allah. Ada sebab dan hikmahnya di sebalik pemilihan Mad Said sebagai Menteri Besar.

Selain itu pemimpin Pusat – UMNO dan Pentadbiran – perlu melihat dengan sikap lebih terbuka bahawa Tuanku Mizan membuat perlantikan selepas menilai banyak faktor termasuk melihat pemimpin paling senior, ‘tidak berniaga’ dan cakna rakyat sesuai dengan moto pentadbiran Mad Said sejak 2008 lagi – Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Monday 20 September 2010

Apa Tidak Kena Dengan Ahmad Said?

TeganuKini akan menyiarkan siri rencana mengenai POLITIK TERENGGANU : APA SEBENARNYA?

Ia bertujuan memberikan gambaran dan kedudukan sebenar politik di Terengganu, bukan berasaskan cajap-cakap atau komen blogger yang mahu melihat kemelut politik Terengganu berlanjutan.

Ikuti Bahagian Pertama bermula hari ini.

POLITIK TERENGGANU : APA SEBENARNYA?

Bahagian Pertama – Apa Tidak Kena Dengan Ahmad Said?


Datuk Seri Ahmad Said (Mad Said ) muncul sebagai Menteri Besar kerana ketentuan Allah. Dia tidak mengharap, meminta, melobi atau ‘bermimpi di siang hari’ seperti ‘calon-calon’ Menteri Besar yang ada sekarang – Datuk Alias Abdullah (ADUN Alor Limbat), Datuk Din Adam (ADUN Bukit Besi), Datuk Awang Tera (ADUN Cukai ) hatta Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Ada yang tidak kena dengan Datuk Seri Idris Jusoh yang menyebabkan beliau tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar. Sudah ada isyarat mengenai nasib yang akan menimpa Idris apabila pada 10 Mac 2008 iaitu majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu dan pelantikan Exco-exco kerajaan negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu pagi itu dibatal pada saat-saat akhir. Pembatalan majlis itu diumum oleh Datuk Bentara Luar Datuk Omar Pilus kira-kira pukul 8.55 pagi dengan memaklumkan majlis mengangkat sumpah itu telah ditangguh sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kemudian.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri ketika itu Datuk Rosol Wahid yang mengulas mengenai perkara itu berkata upacara itu terpaksa ditunda pada saat-saat akhir kerana Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh masih berada di Kuala Lumpur. Selepas peristiwa ini banyaklah peristiwa lain yang membawa kepada ‘pengunduran’ Idris dan kemunculan Mad Said.

Jadi apabila Mad Said dianugerahkan jawatan ini oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin, beliau menerimanya dengan tangan terbuka. Dia tidak sabotaj Datuk Seri Idris Jusoh yang menyebabkan tidak dilantik semula atau orang lain seperti Yahya Khatib (ADUN Pengkalan Berangan) atau Datuk Abdul Rahin Mohd Said (ADUN Teluk Pasu) yang berangan-angan mahu menjadi Menteri Besar. Tidak sama sekali. Tidak dan tidak.

Sabotaj, tikam belakang, berdendam atau juga bercita-cita terlalu tinggi bukan sifat Mad Said. Anak ‘Tok Penyadat’ dari Kemaman ini bukan jenis political animal yang sanggup menggigit atau meratah tuannya. Malah, Mad Said bukan jenis anjing yang menyerang orang yang melepaskannya daripada tersepit.

Buktinya, apabila ada kriris politik antara Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Negeri ketika itu, Idris Jusoh, Mad Said mempertahankan Menteri Besar ‘bagai nak gila’. Itulah sikap Ahmad Said. Anak Wan Mokhtar sendiri – Wan Hakim – tidak pernah berbuat seperti Mad Said lakukan terhadap ayahnya!

Sejarah politik Mad Said bersih. Dia naik dari bawah. Rank and file kata orang. Mad Said bermula dengan Pemuda UMNO hingga menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dilantik.

Jangan ceritalah pasal peranannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Kemaman atau Ketua Bahagian Kemaman dan Ketua UMNO Cawangan.

Oleh kerana politiknya yang jenis straight forward dan tidak melencong sana sini, Mad Said mudah dibaca dan dilihat haluan politiknya. Baginya anugerah hingga menjadi Exco Kerajaan Negeri sudah berbaloi dan tinggi buatnya.

Jadi apabila dilantik Menteri Besar Mad Said mengharapkan sokongan dan perhatian daripada rakan-rakan ADUN dan Ketua Bahagian. Namun pada peringkat awal perlantikannya, Mad Said berada pada kedudukan 23-0. Ini kerana Mad Said merupakan pilihan istana ditolak bulat-bulat oleh 23 ADUN BN, sebaliknya mereka mahu Idris yang menerima watikah pelantikan daripada Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar Idris dilantik sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.

Bersambung esok

Thursday 2 September 2010

Karier Politik Hishamuddin Wajar DiKorbankan

Ini bukan isu Julius Ceasar dengan Rom. Kita tak sayang Hishamuddin seperti orang Greek sayangkan Ceasar. Kes Hishamuddin dengan Melayu dan Islam berlainan. Tidak ada kata-kata : "Aku sayangkan Ceasar, Tetapi Lebih Sayangkan Rom". Kita langsung memang tidak sayangkan Hishamuddin.

Karier politiknya patut 'dikorbankan'.

Apalah yang boleh diharapkan kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein lagi. Dia hanya mampu menghunus keris dan kemudian meminta maaf. Itu sahaja.

Yang nyata, Hishamuddin bagaikan tidak mampu mengawal perbuatan bukan Melayu dan bukan Islam menghina orang Melayu dan Islam.

Malah apabila Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dihina pun, Hishamuddin gagal memainkan peranan.

Apakah orang seperti ini kita mahu harapkan menjadi pemimpin UMNO yang cemerlang? Cukuplah setakat ini.

Hishamuddin patut dihukum. Ada rakan blogger mencadangkan rombakan Kabinet sebagai jalan keluar untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak membuktikan kepada rakyat bahawa dia benar-benar "mean business" dalam pentadbirannya.

Dengan kedudukan rakyat sudah muak dengan sikap menteri yang gagal melaksanakan tugasnya Hishamuddin akan selamat melalui cara itu.

Mengharapkan Najib mengambil tindakan terhadapnya? Jauh sekali. Dia sepupu dan ketika ini Hishamuddin adalah Naib Presiden UMNO.

Satu cara sahaja iaitu mengalahkan beliau daripada jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan akan datang kerana dia bukan sahaja gagal berfungsi sebagai Menteri tetapi juga sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang tidak selesai-selesai dengan kemelut mereka.

Hishamuddin dilantik menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dengan harapan akan menyelesaikan masalah dalaman UMNO. Sebaliknya dia gagal menyelesaikan masalah bukan kata Terengganu, bahagian UMNO Setiu pun tidak ke mana-mana.

Malah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimalukan di Setiu gara-gara kegagalan Hishamuddin menyelesaikan kemelut politik bahagian berkenaan.

Amat jelas di kalangan blogger, ramai yang sudah tidak menaruh harapan lagi kepada Hishamuddin.

Ada memanggilnya ‘lembik” dan ada menggelarnya Kerismudin. Tak kisahlah dengan apa gelaran sekali ini.
Ternyata sudah terang lagi bersuluh, sikap acuh tidak acuh Hishamuddin sebagai menteri Keselamatan Dalam Negeri memalukan orang Melayu, UMNO dan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Tak perlu mengulas panjang tetapi bacalah apa yang ditulis oleh blogger berikut:

Blogger Keris Putera, (Namewee Sah Lepas?? What Happen Kerishmuddin?)

Blogger Medan Info Kita (Menteri KDN Tidak Lagi Digeruni Rakyat Malaysia).

Blogger OhSedapnya (Meng Chee - Kami Sidah Jemu Dengan Celoteh Hisham)

Blogger Perak Bangkit (Tahan Namawee Bawah ISA).

Blogger Jeffry Damien, (Apeee?..Namewee??...HARKKK PTUIHH!!!)

Portal My KMU, (Namewee Patut Dilucut Kewarganegaraan)

Blogger Warisan, (Kelembikan Hishamuddin Memalukan PM)

Blogger Gerakan Anti PKR, (Tiba Masanya Hishamuddin Lakukan Harakiri Politik.)

Blogger Pilihan Anda, (Melayan Kerenah Budak 3 Suku)

Blogger Teganu Kini (Hishamuddin, Pengerusi Perhubungan Yang Lemah?)

Amat mengecewakan kerana dalam isu terbaru, anak Cina Johor, NameWee (Wee Meng Chee), Menteri Besar PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menegur dan mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas kerana mengulangi perbuatannya menghasilkan klip video yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Namewee pernah meggubah sebuah lagu yang berjudul “Negarakuku” yang mengakibatkan budak Cina ini menerima kutukan dan amaran dari pelbagai pihak, terutamanya Melayu UMNO.

Namun, setelah Namewee meminta maaf di atas kesilapan pertamanya itu, maka di atas sifat bangsa Melayu yang suka bertolak ansur, maka Namewee "dilepas”kan. Namun, ramai yang masih tidak berpuas hati atas insiden ini dan mempersoalkan patriotisma di dalam diri budak Cina ini.

Namun, Namewee tidak belajar dari kesilapan pertamanya itu. Budak Cina ini sekali lagi mengulangi kebiadapannya dengan menghina pelbagai agensi seperti Tenaga Nasional Berhad dan bangsa Melayu melalui klip videonya yang jelas menghina Melayu.

Dalam lirik lagunya itu, Namewee tanpa rasa bersalah menyuruh bangsa Melayu tinggal di dalam hutan dan hidup seperti kaum Sakai. Sudahlah dia menghina Melayu, kemudian dia mempersendakan kaum Sakai yang merupakan salah satu bumiputera di Malaysia.

Apakah dengan menghina bangsa bumiputera dan mencipta isu perkauman seperti ini menunjukkan bahawa Namewee adalah seorang “anti-racist”?

Namun Hishamuddin nampaknya main lengah-lengah dan takut dengan bantahan orang Cina. Orang Melayu ingat tak marah ke?

Betul kata Menteri Besar Kedah itu. Tindakan tegas perlu sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak menimbulkan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kemakmuran negara selama ini.

Komen Azizan itu jelas memperlihatkan kelembikan menteri UMNO dalam menangani isu-isu keselamatan. Benar juga kata seorang blogger - "Mungkin Naib Presiden UMNO ini sesuai menjaga ayam atau harga ayam daripada menjaga keselamatan negara."

 http://gegernya.blogspot.com/