Tuesday 2 April 2013

Najib Umum Parlimen Bubar Selepas Mesyuarat Kabinet Hari Ini?


 

Daripada www.teganuku.blogspot.com

Hari ini genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Tahniah Perdana Menteri kerana berjaya menjamin negara aman, makmur dan sejahtera.

Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.


Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari sehingga selewat-lewatnya bulan Jun untuk mengadakan PRU-13 bagi membentuk kerajaan baru.

Ternyata hari ini seluruh rakyat Malaysia menumpukan perhatian dengan penuh debaran apakah benar pengumuman mengenai pembubaran parlimen akan dibuat oleh sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri hari ini.

Jika benar maka ia akan menjadi mesyuarat Kabinet yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan. Selepas itu, kerajaan Najib akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sahaja. Parlimen bagaimanapun akan terbubar secara automatik pada 30 April ini.

Sejauh ini, Perdana Menteri masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen. Tetapi beberapa perkara yang akan berlaku telah menjurus ke arah petunjuk yang hari ini (Rabu) mungkin menjadi hari yang dinanti-nantikan oleh semua.

Pertama sekali, pagi ini sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri akan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong untuk membentangkan laporan kabinet.

Jika Najib berhasrat mahu mengumumkan pembubaran parlimen maka Rabu adalah hari yang paling sesuai kerana pada hari tersebut juga beliau secara rutin memang dijadualkan mengadap Seri Paduka.

Kedua, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh media-media massa, anggota Jemaah Menteri telah diarahkan supaya mengenakan sut serba gelap yang dipadankan dengan tali leher merah untuk sesi bergambar kenang-kenangan yang terakhir.

Difahamkan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan diadakan  esok (Khamis).
 

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, Najib dijangka menyertai Program Kayuhan Patriotik 1Malaysia@ Putrajaya pada pukul 5 petang sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah. Beliau dijangka pulang dua hari selepas itu.  

Berita Harian menyebut, parlimen dijangka dibubarkan seawal hari ini selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.

Ia berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri meminta semua Ahli Jemaah Menteri hadir pada mesyuarat itu lengkap berpakaian lounge suit berwarna gelap dan bertali leher berwarna merah untuk sesi bergambar.

Mengikut amalan sebelum ini, Ahli Jemaah Menteri akan bergambar bersama Perdana Menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir Kabinet sebelum pengumuman pembubaran Parlimen selepas mesyuarat.

Difahamkan sesi bergambar diadakan sebelum mesyuarat Kabinet hari ini dan Najib mengadakan sidang media bagi mengumumkan pembubaran Parlimen selepas itu.


Beberapa Menteri yang dihubungi mengesahkan menerima surat itu dan tidak menolak kemungkinan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat Kabinet hari ini seperti kelaziman sebelum ini.

“Saya sudah menerima surat dan mungkin ini adalah mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini kerana mengikut tradisi Perdana Menteri sebelum ini, Parlimen dibubarkan selepas itu,” kata seorang Menteri semalam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar secara automatik pada Khamis lalu dan kini ditadbir kerajaan sementara yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika Parlimen dibubarkan hari ini  SPR akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk menetapkan beberapa perkara dasar seperti daftar pemilih, watikah kepada pegawai SPR, tarikh penamaan calon tarikh mengundi.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali meramalkan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada 26 atau 27 April ini selepas beliau menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang berlangsung pada 24 dan 25 April ini.

Menurut Mustafa, Najib perlu menghadiri Sidang Kemuncak Asean itu sebagai perdana menteri penuh. "Mengambil kira pembubaran Dewan Undang Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata pilihan raya akan diadakan serentak, jadi pilihan raya akan diadakan tidak lewat daripada 25 atau 26 Mei.

"Paling lewat 27 Mei," ramal beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur, sambil menambah, ramalan itu dibuat setelah meneliti tarikh-tarikh penting acara rasmi yang perlu dihadiri Najib sebagai perdana menteri di samping mengambil kira pembubaran DUN secara automatik di Negeri Sembilan, bulan lalu.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam itu, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di Semenanjung.

Sumber mStar & Berita Harian

No comments:

Post a Comment