Thursday 16 January 2014

TISB Sediakan Plan Strategik Ke Arah Mencapai Aset RM2 Bilion Setahun


Program Latihan Pengarah Korporat yang julung-julung kali diadakan di Terengganu, berakhir Khamis lalu, membuktikan bahawa kerajaan negeri benar-benar mahu melonjakkan syarikat milik kerajaan negeri mencapai nilaian aset bersih kepada RM2 bilion setahun.

Seramai 200 peserta menyertai program berkenaan yang dianjurkan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia selama dua hari di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Program secara dalaman itu bertujuan membantu pengarah-pengarah kumpulan syarikat TISB memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang digariskan dalam Akta Syarikat 1965.

Program latihan yang dijalankan secara komprehensif itu merangkumi tiga peringkat iaitu ‘peringkat asas, pertengahan dan lanjutan yang diwajibkan kepada semua pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk menghadirinya.

Latihan ini memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pengarah dalam sesebuah syarikat.

Program ini diadakan selaras dengan hala tuju syarikat pegangan pelaburan utama negeri iaitu TTISB melancarkan Pelan Strategik lima tahun bermula 2014.

Ia menumpukan kepada pembangunan dan ekonomi mampan yang menyasarkan nilaian aset bersih kepada RM2.0 bilion dengan purata peningkatan sebanyak 20 peratus setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata kejayaan dalam penyediaan pelan strategik ini terhasil melalui kerjasama strategik TISB beserta anak syarikatnya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategik TISB 2014-2018 dan menyempurnakan majlis penutupan Program Latihan Pengarah Korporat di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri yang juga Ahli Lembaga Pengarah TISB, Datuk Mazlan Ngah dan dua lagi ahli lembaga pengarah, Datuk Abdul Razak Ismail dan Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif TISB, Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Mohd. Naim Daruwish dan Pengarah SSM Terengganu, Wan Rohaimi Wan Manan serta para pengarah syarikat milik kerajaan negeri hadir sama.


Menurut Menteri Besar, anak-anak syarikat itu sedang mengorak langkah sebagai satu entiti yang melengkapi fungsi dan peranan masing-masing.

Penyediaan pelan strategik ini merupakan perancangan yang komprehensif dan sangat penting supaya arah tuju perancangan dan pengurusan TISB menjadi lebih teratur, berkesan dan jelas.

Selain itu ia sedang menstruktur semula sektor sedia ada dengan pengoptimumkan sinergi di kalangan syarikat tersebut termasuk sektor pembuatan makanan halal, bio-teknologi, pelancongan dan perhotelan serta pelaburan hartanah.

Pelan strategik tersebut turut memperhitungkan faktor perkembangan, cabaran dan keperluan semasa yang perlu ditangani.

Tujuannya ialah meneruskan perhatian kepada agenda yang komprehensif merangkumi empat komponen iaitu `pemegang saham, kewangan, proses pentadbiran dalaman, selain proses pembelajaran dan pertumbuhan.

Bagaimanapun sasaran hala tuju itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan usaha daripada 16 buah anak syarikat termasuk dua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu TDM Berhad dan Golden Pharos Berhad.

Selain dua syarikat berkenaan, sembilan buah lagi adalah syarikat bersekutu selain lima buah syarikat pelaburan yang diharapkan mencapai sasaran berkenaan.

Pengurusan TISB yakin, dengan urus tadbir korporat yang baik ia akan dapat memainkan peranan utama dalam menyediakan masa depan yang mampan untuk manfaat seluruh rakyat Terengganu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Program yang dianjurkan TISB ini juga bertindak sebagai gerbang informasi kepada pengarah untuk memahami dengan lebih mendalam dalam menguruskan syarikat agar lebih efektif dan efisyen lagi.

Ini kerana pengarah syarikat bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju syarikat, menilai prestasi perniagaan dan memastikan perancangan dilaksanakan dan sumber hasil syarikat digunakan dengan betul serta membuat keputusan bagi kepentingan syarikat.

Sekiranya pengarah mematuhi segala peruntukan dan undang-undang yang ada, ianya akan melicinkan perjalanan syarikat dan kejayaan syarikat akan dapat dicapai.

Berikutan itu, semua anak syarikat milik kerajaan negeri diarah menghantar laporan tahunan syarikat masing-masing kepada kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebelum 31 Januari ini termasuk berkaitan pemberian imbuhan seperti bonus kepada kakitangan.

Sekiranya mereka gagal mematuhi arahan yang ditetapkan sebelum tarikh akhir itu, pentadbiran Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajar.

Langkah itu bertujuan mewujudkan hubungan baik dan kondusif antara kerajaan negeri dengan kesemua anak syarikat selain sentiasa mengetahui setiap perkembangan yang berlaku dalam syarikat berkenaan.

Ia juga bagi mengelakkan kerajaan negeri tidak mengetahui perkembangan syarikat miliknya selain mengesyorkan agar sebelum membuat sebarang keputusan, ia perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kerajaan.

Arahan itu dibuat apabila ada kes sebelum ini, di mana kerajaan negeri tidak tahu dan tidak dimaklumkan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya juga telah membuat keputusan melakukan beberapa perubahan serta rombakan kepimpinan syarikat di negeri ini ke arah penambahbaikan.

Usaha itu dilakukan bagi memberi peluang dan laluan kepada individu lain menerajui syarikat selain mendedahkan mereka menempuh suatu cabaran serta pengalaman yang berbeza demi masa depan syarikat milik kerajaan di negeri ini.

Sebelum ini, TISB membayar dividen RM20.2 juta kepada enam agensinya termasuk kepada Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu (YIT), Yayasan Pembangunan Keluarga dan Menteri Besar Diperbadankan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata, pembayaran tersebut merupakan komitmen syarikat itu kepada agensi di bawahnya untuk melaksanakan agenda mereka.

"Agensi berkenaan kemudiannya akan menyalurkan dividen itu kepada rakyat Terengganu yang layak mengikut peranan agensi terbabit untuk memastikan kebajikan rakyat Terengganu terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, awal September lalu.

Menurut Wan Ahamad, dividen tersebut akan disalurkan melalui pelaksanaan projek-projek yang dikenal pasti mengikut peranan dan fungsi agensi terbabit.

Menurutnya sehingga September lalu, nilai aset bersih TISB melalui pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburan di dalam sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah, pelancongan serta hospitaliti, berjumlah RM987 juta.

Beliau juga berkata, syarikat itu sedang merangka Pelan Strategik Lima Tahun dengan unjuran nilai aset bersih meningkat kepada RM2 bilion, atau peningkatan 20 peratus setahun.

"Bagi menjayakan rancangan itu, Terengganu Inc. bercadang menceburi projek-projek berpotensi yang menghasilkan pulangan yang tinggi dan lumayan, selain pelaburan strategik," katanya.

No comments:

Post a Comment