Tuesday 11 February 2014

Muhd Irfan Jawab Pelawaan Ahmad Said Dengan Bersumpah Di Johor Bahru…



Bekas pemain T-Team, Muhd Irfan Abdul Ghani sudah menjawab pelawaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang mahu membiayai tiket kapal terbangnya untuk datang ke Terengganu.


Jawapan Muhd Irfan semalam ialah mengangkat sumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin minggu lepas, adalah benar.

"Saya bersumpah bahawa apa yang diperkatakan oleh saya adalah benar," kata anak jati Johor itu yang bermain dalam barisan pertahanan pasukan kelab dari Terengganu tersebut.

Irfan yang menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain T-Team pada 4 Februari lepas berbuat demikian dalam satu sidang media di sebuah restoran di Johor bahru.

Tindakannya itu menyusuli upacara bersumpah menggunakan al-Quran yang dibuat oleh seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team di Kuala Terengganu, malam kelmarin, berhubung insiden sama.

Sambil tangannya memegang kitab suci al-Quran, bekas pemain T-Team Irfan Abdul Ghani semalam bersumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin minggu lepas adalah benar.

Kelmarin Menteri Besar Terengganu mencabar pemain T-Team, Muhd Irfan agar tampil mengangkat sumpah di hadapannya sekiranya dia di pihak yang benar.

"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini (Kuala Terengganu) kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," kata Ahmad Said selepas majlis bersumpah dengan Al-Quran di hadapan beliau.

Muhd Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.

Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan. Beliau telah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang merupakan rakan serumahnya.

Muhd Irfan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Februari lalu.

Majlis bersumpah itu diadakan sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.di Hotel Tabung Haji (TH) &Convention Center di Gong Badak pada kira-kira 10 malam kelmarin.

Mengulas kejadian, Irfan, 25, berkata beliau terdengar kekecohan di dalam terowong pemain semasa tamat separuh masa pertama perlawanan, namun tidak nampak apa yang berlaku.

Katanya semasa berada di dalam bilik persalinan kemudian, beliau mendengar pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impligazzo mendakwa dipukul ketika di dalam terowong itu.

"Daripada pemerhatian saya sendiri semasa di dalam bilik persalinan tersebut, saya lihat tiada sebarang tanda bahawa Evaldo dan Stefano telah dipukul," katanya.

Susulan kejadian itu juga Irfan membuat keputusan 'menggantung but' dan bersara daripada arena bola sepak buat sementara waktu. Katanya langkah itu juga bagi membolehkan beliau menjaga ibunya yang sedang sakit.

"Saya akan cuba mencari pekerjaan lain memandangkan saya telah bersara daripada bermain bola sepak," katanya

Semalam, pemain T-Team Khairan Ezuan Razali dan penolong jurulatih Azlan Johar bersumpah di hadapan al-Quran bagi membuktikan kenyataan mereka bahawa Evaldo ditumbuk ketika di dalam terowong itu adalah benar.

Upacara itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini meminta pemain dan pegawai T-Team yang beragama Islam bersumpah menggunakan al-Quran bagi membuktikan kebenaran.

Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah Al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.

Ia bertujuan membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas. Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah menerima surat peletakan Mohd Irfan.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di Kuala Terengganu, semalam.

Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di sini itu.

Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut" kerana menghilangkan diri begitu sahaja.

"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan). "Maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri dan saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bagus," katanya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain import ni ada undang-undang sendiri. Dia ada ejen dan sebagainya. Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka. Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.

"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya.

Mengulas majlis sumpah al-Quran itu Ahmad Said berkata beliau terharu kerana sebagai orang Islam kedua-dua mereka tahu risiko bersumpah dengan al-Quran jika mereka berbohong.

"Soal itu (siapa pelaku) tidak penting kerana apa yang penting ialah kejadian tumbuk itu benar-benar berlaku. Itu yang penting," katanya.

No comments:

Post a Comment