Sunday 9 February 2014

Terengganu Digambarkan Tidak Selamat Oleh Pemain T-Team…


Jika sebelum ini dua pemain T-Team - Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso dan Fabio Flor - bimbang keselamatan sambil merasakan mereka tidak selamat berada di Terengganu sehingga mahu melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kini Muhd Irfan Abdul Ghani bagaikan merasakan perkara sama.

Bezanya pada ketika dua pemain import T-team itu terus berada di Terengganu, Muhd Irfan pula menghilangkan diri apabila turut mengambil semua barang-barangnya dari kediamannya di Gong Badak.

Dia tidak melapor diri kepada pasukan T-Team sehingga semalam dan ‘drama lesap’ yang dicetuskan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini dijangka memasuki fasa baharu dalam isu kekecohan JDT-T-Team.


Kekecohan berlaku pada saingan Piala FA pusingan kedua dalam terowong menuju bilik persalinan pemain pada waktu rehat di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu, Sabtu lalu apabila pemain T-Team dikatakan dikasari.

Berikutan kejadian itu, T-Team membuat keputusan menarik diri daripada aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, pemain itu didapati bersalah kerana masih gagal dikesan dan tidak melapor diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, Isnin lalu.

Di mana dan ke mana Muhd Irfan sehingga hari ini "masih belum menjelma di bumi Terengganu"? Pemain berkenaan sehingga kini masih belum turun untuk mengikuti latihan dan panggilan yang dibuat kepadanya tidak dijawab.

‘Drama Muhd Irfan’ meletus apabila membuat sidang akhbar tanpa kebenaran majikannya yang dianggap melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan sebelum ini.
Sidang akhbar ‘mengejut’ tanpa pengetahuan majikannya mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos minggu lepas.

Pada 6 Februari lalu, penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhd Irfan yang menyatakan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.

Dakwa beliau, Muhd. Irfan tidak nampak kejadian sebenar yang berlaku di dalam terowong kerana ketika kejadian pemain itu berada di padang dan dia hanya masuk ke bilik persalinan selepas pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk tidak menyambung permainan.

Pemain itu tidak nampak sebarang kecederaan yang berlaku ke atas Elvaldo Rodriguez kerana selepas kejadian pasukan perubatan T-Team sudah menjalankan rawatan ke atas pemain import itu.

T-Team mempunyai ramai saksi berhubung kejadian itu tetapi mengalu-alukan kehadiran saksi luar untuk membantu siasatan kes itu.

 "Dia tidak nampak kecederaan yang berlaku terhadap Elvaldo dan segala keputusan yang dibuat oleh kesebelasan utama pasukan dia tidak tahu kerana dia merupakan pemain simpanan.
 
"Pemain rasa tidak selamat selepas apa yang berlaku ke atas Elvaldo dan ketika perjalanan masuk ke bilik persalinan mereka dihalang, dicaci dan dimaki.

Sebagai ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), saya tahu apa yang patut dilakukan dan kami tiada niat jahat, kami tidak ambil gambar kejadian dan tidak merancang apa-apa pun ketika kejadian," katanya.

Kenyataan yang dibuat pemain itu dilihat bercanggah dengan pendirian pasukannya yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.

“Dia (Irfan) minta balik (ke Johor) atas alasan masalah keluarga tetapi sebaliknya, dia telah membuat perkara di luar jangkaan (mengadakan sidang akhbar tanpa kebenaran majikan),” ujar Rasid.

Tambah beliau, semua pihak menanti kepulangan pemain itu ketika ini termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

“Menteri Besar Terengganu (Ahmad) menunggu kepulangan Irfan. Sama seperti pemain-pemain lain, dia (Irfan) juga perlu melakukan di hadapan sumpah al-Quran seperti yang diminta,” katanya.

T-Team kini hampir pasti akan membawa kes kehilangannya ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tindakan Muhad Irfan yang tidak pulang sejak memohon cuti mungkin menyebabkan dia menerima hukuman gantung tanpa gaji.

“Semuanya (keputusan yang akan dibuat) bergantung kepada kontrak yang sedia ada. Tindakan gantung (tanpa gaji) mungkin boleh dikenakan ke atasnya berdasarkan klausa kontrak yang sedia ada.



“Apapun, kami akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Disipilin (T-Team) yang akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan yang akan dikenakan terhadap pemain itu selain membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi (FAM),” kata Rasid seperti dilaporkan Utusan Malaysia.


Ab. Rasid menyifatkan ‘kehilangan’ Irfan yang sepatutnya kembali Selasa lalu sebagai kesalahan besar. Pengendali pasukan T-Team, Mohd Azrai Khor Abdullah lebih berminat kepada pemain yang turun menjalani latihan daripada berbicara mengenai Muhd Irfan, pemain yang menimbulkan kontroversi dalam insiden pahit di Larkin, Johor Bahru itu.

"Saya rasa tidak payah panggil, saya rasa sebagai pemain profesional dia tahu apa tanggungjawab dia dan apa dia perlu buat.

"Jadi, kita tunggu dan lihat, selebihnya saya tidak mahu komen, terserah kepada pihak pengurusan," katanya kepada pemberita.

Tanpa memberikan butiran, Mohd Azraai berkata beliau percaya pihak pengurusan sudah mempunyai sesuatu tindakan untuk pemain terbabit.

No comments:

Post a Comment