Wednesday 30 April 2014

1 Mei Untuk Raikan Jasa Pekerja Disalahguna Oleh Pembangkang...


1 Mei adalah hari pekerja. Hari di mana pekerja berehat.

Jika ada majlis meraikannya, ia tidak sewajarnya berpanjangan. Biarlah pekerja berehat.

Selain memberikan waktu untuk mereka berehat, cuti umum Khamis 1 Mei 2014 hari ini sempena Hari Pekerja diraikan bagi menghargai jasa seorang pekerja dalam perkembangan ekonomi negara.

Oleh itu, kita mengucapkan selamat hari pekerja kepada seluruh individu yang bergelar pekerja di Malaysia.


Dalam usaha kita mencapai kecemerlangan dan mengetengahkan daya kreatif, kebolehan dan kemahiran pekerja, persekitaran kerja amaat penting untuk diwujudkan.

Sudah pasti, dasar kebangsaan dan majikan di negara ini perlu mewujudkan persekitaran kerja yang tidak saja memupuk bakat pekerja tetapi juga menggalakkan mereka mencapai kecemerlangan.

Dalam masyarakat moden hari ini, modal bagi persaingan dalam kalangan negara ialah bakat dan persekitaran kerja yang menggalak perkembangan dan kejayaan pekerja, yang juga membantu kejayaan majikan.

Jika Hari Pekerja pada masa lepas merupakan kempen bagi perjuangan, Hari Pekerja hari ini bererti menambah baik diri, kemajuan diri dan meningkat daya saing bagi kedua-dua majikan dan pekerja.

Hari ini kerajaan Malaysia yang berpandangan jauh berusaha ke arah mewujudkan persekitaran terbuka, bebas dan bertambah baik demi menarik bakat.

Malah, dalam era kompetitif ketika ini, dasar kerajaan jangan sahaja memfokuskan kepada pemupukan bakat pekerja tetapi juga menyediakan mereka platform untuk mengetengah keupayaan sebenar mereka.

Melaluinya, negara akan dapat bergerak lebih pantas ke arah mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

Namun berbeza dengan pembangkang, mereka mahu menggunakan Hari Pekerja hari ini untuk mengadakan perhimpunan yang dijangka membabitkan 10,000 hingga 15,000 orang membantah Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perhimpunan yang akan diadakan dekat Dataran Merdeka Kuala Lumpur, antara pukul 2 petang dan 5 petang ini akan bermula di Jalan Raja dan melintasi Dataran Merdeka tanpa memasuki kawasan padang berkenaan.

Juara perhimpunan pembangkang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata, mereka akan menggunakan laluan sama seperti sambutan kemerdekaan negara dan bergerak ke Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir, termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Naib Presiden PKR Tian Chua serta aktivis pembangkang lain. Mereka diberikan keyakinan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa perhimpunan itu sesekali tidak akan menimbulkan provokasi sehingga boleh mendatangkan ketegangan.

Kenyataan ini ternyata bertentangan dengan gesaannya sebelum ini bahawa PKR bertegas selagi tidak wujud perubahan ketara yang menjadi jurang antara golongan kaya dan miskin serta akan bersungguh-sungguh menentang GST kerana ia akan menambah beban rakyat.

Wan Azizah sebelum ini mengajak rakyat menyertai perhimpunan itu bersama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana parti itu percaya kewujudan pelbagai penguatkuasaan cukai adalah perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat.

Selain perarakan ini, di KLCC juga akan diadakan sambutan Hari Pekerja yang melibatkan 95 organisasi yang sudah pun menuntut GST dibatalkan. Kumpulan ini akan bergerak ke Dataran Merdeka.

Tian Chua berkata, selepas beberapa kali mengadakan himpunan besar-besaran, akhirnya ia dilihat sebagai sesuatu yang demokratik dan hak asasi untuk rakyat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh sudah memaklumkan bahawa Himpunan Aman Membantah Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu dibenarkan diadakan namun menasihatkan penganjur supaya mematuhi syarat-syarat tertentu untuk memastikan keselamatan peserta.

Antara syarat ialah peserta tidak dibenarkan membawa senjata atau kanak-kanak ke perhimpunan ini selain perlu mengikuti dan menghormati arahan daripada anggota polis yang bertugas, yang berada di sana untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dan memastikan kelancaran penganjuran itu.

Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan alat pembesar suara, membuat ucapan dan menjerit slogan parti ketika berarak ke Dataran Merdeka dari pelbagai lokasi.

Jaminan diberikan oleh ketua kumpulan penunjuk perasaan selepas pertemuan sebanyak empat kali dengan polis selain bersetuju dengan syarat-syarat untuk memastikan keselamatan orang awam dan semua yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Kita akan saksikan sejauh mana janji itu ditepati.

Juga berapa banyakkah bukan Melayu akan menyertai tunjuk perasaan itu.

Apakah ia masih ditakuk lama apabila ‘orang Melayu terus membenarkan diri mereka dipergunakan untuk menentang kerajaan yang dilihat milik Melayu melalui tunjuk perasaan itu’?

Thursday 24 April 2014

Beranikah Najib Tukar Ahmad Said?


Oleh Zabidi Saidi

PETALING JAYA: Dahulu heboh kononnya Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu ditukar apabila ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ bagi membolehkan beliau dilantik sebagai MB yang baharu.

Tetapi perancangan manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Anwar beriya benar mahu menjadi MB Selangor tetapi akhirnya beliau tidak dapat bertanding apabila pada 7 Mac lalu beliau dijatuhkan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Maka berita pertukaran Khalid dari jawatan MB menjadi senyap selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi DUN Kajang menggantikan suaminya.

Ahad lalu Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia membangkitkan isu pertukaran dua MB di kalangan MB Barisan Nasional (BN). BN berkuasa di Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah (Ketua Menteri).

Siapa yang akan digugurkan?

Tidak mungkin Perlis, Kedah, Melaka dan Johor kerana mereka masih baru menjadi MB pada Mei 2013 selepas pilihanraya umum (PRU). Adakah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Musa Aman?

Mohamad Hassan paling ‘gentleman’ antara mereka berlima. Beliau berkata kuasa melantik MB adalah kuasa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau PM suruh bersara, kita kena terima dengan lapang dada,” kata beliau. Setakat ini Zambry, Adnan dan Musa tidak bersuara. Sebaliknya yang banyak menjadi tumpuan ialah Ahmad Said.

Ahmad Said kata beliau enggan mengulas spekulasi dalam blog dan Facebook.

Sebenarnya bukan blog dan Facebook yang memulakannya tetapi Mingguan Malaysia akhbar milik Umno.

Apabila akhbar milik Umno yang mainkan isu ini, maka orang lebih percaya Ahmad Said akan ditukar walaupun Awang Selamat tidak menyebut nama dua MB yang terbabit.

Benarkah ada perjanjian di antara Najib dengan Ahmad Said bahawa beliau jadi MB Terengganu untuk satu tahun sahaja selepas PRU ke 13? Itu yang diperkatakan orang.

Malah beliau dikatakan mengugut PM akan menarik dua ADUN BN keluar dari BN yang menyebabkan BN akan tumbang di Terengganu pada tahun lepas sekiranya PM tidak lantiknya semula sebagai MB.

Jika benar Najib mahu gugurkan Ahmad Said, adakah ugutan Ahmad Said akan terlaksana? Tergamakkah Ahmad Said melihat BN jatuh di Terengganu? Ini yang sedang difikirkan oleh Najib buruk dan baik menggantikan Ahmad Said dengan orang lain.

Blogger Sayuti Omar menyifatkan Ahmad Said akan jadi macam David Moyes, Pengurus Manchester United. Katanya, semalam Ahmad Said enggan ulas. Manakala orang yang diheret akan mengganti beliau menafikan.

Orang yang dijaja ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia bernama Rozi Mamat. Sebelum ini orang tidak kenal siapa dia Rozi Mamat. Dia bukan tokoh yang disebut-sebut sebelum ini. Tetapi tiba-tiba namanya tersembur ke atas hari ini.

Sayuti menulis, Rozi Mamat pun sudah menggeletar bila mana namanya disebut malahan marah kepada orang yang mengheret namanya.

Tambahnya lagi, tidak mengapa, Rozi tidak perlu menggeletar dan marah-marah, orang yang bakal mengganti Ahmad Said kalau MB itu terpaksa disenjah turun, bukan Rozi Mamat, tetapi ada nama lain.

“Nama itu sudah pun dimaklumkan kepada Sultan Terengganu. Sebelum itu saya nak tanya beranikah Najib Razak tukar MB Terengganu itu? Macam mana dengan Sultan, perkenankah tidak?” soal Sayuti dalam blognya.

MstarOnline menulis keputusan pihak istana yang bakal menentukan sama ada akan berlaku pertukaran MB di beberapa buah negeri menjadi kenyataan sebagaimana yang disebut-sebut sekarang.

Walaupun PM berhak membuat perubahan ke atas kerusi tersebut tetapi kata putus istana tetap memainkan peranan dan tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Beberapa sumber yang dihubungi mStar Online memaklumkan, suka atau tidak, kata putus istana dalam soal kerusi MB harus diterima sebagai salah satu pra-syarat pelantikan mana-mana MB yang baharu.

“Lambat atau cepat proses pertukaran (MB) itu bergantung kepada kata putus pihak istana,” katanya lagi.

 Sumber mStar Online turut mendedahkan bahawa isu mengenai pertukaran MB di beberapa buah negeri ini timbul kerana wujudnya perjanjian bersama antara MB terbabit, Barisan Nasional (BN) dan istana negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 yang lalu.

“Menerusi gentleman agrement itu, beberapa orang MB telah diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa selepas memenangi PRU lalu, dengan syarat mereka perlu berundur selepas tempoh tertentu dan inilah yang akan berlaku sekarang,” kata sumber berkenaan.

Bilakah perubahan ini akan berlaku hanya PM sahaja yang ada jawapannya.Dua buah negeri yang disebut-sebut terikat dengan persefahaman ini ialah Terengganu dan Pahang kata mStar Online lagi.

Hanya seorang anggota Exco Terengganu, Nawi Mohamad tampil mempertahankan Ahmad Said.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Besut menyokong kewibawaan Ahmad Said untuk terus mengetuai pentadbiran Terengganu.

Nawi adalah orang Ahmad Said yang menentang penyandang jawatan Ketua Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh dalam pertandingan Ketua Bahagian pada tahun lepas.

Sebalik-baik sahaja Idris dapat tahu Nawi mahu tanding jawatan Ketua Bahagian, beliau yang juga bekas MB bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian sahaja.

Beliau buat alasan sibuk di pusat sebagai Menteri Pendidikan II dan ahli majlis tertinggi Umno yang menyebabkan beliau beri laluan kepada orang muda menjadi Ketua Bahagian. “Pertukaran berkenaan tidak perlu dilakukan buat masa ini,” kata Nawi dalam sms kepada sebuah portal berita.

Minggu lepas sebelum Mingguan Malaysia menyiarkan pojok Awang Selamat, Ketua Umno Bahagian Marang, Latif Awang membuat pengumuman berdiri teguh di belakang Ahmad Said.

Justru itu sama ada benar atau tidak Ahmad Said akan berhenti pada 11 Mei ini, sama-samalah kita tunggu.

Wednesday 23 April 2014

Pemuda Umno Terengganu Berdiri Teguh Di Belakang MB

 
Pergerakan Pemuda Umno Terengganu hari ini berikrar berdiri teguh di belakang Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Said.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri Mohd Johari Abu Bakar berkata untuk memperkukuh dan mengembalikan kegemilangan Umno negeri, Pemuda harus memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan parti.

"Sekarang kami mahu bekerja keras dan mengikut apa saja yang diarahkan oleh ketua kami.

"Kami Pemuda Umno Terenganu berdiri teguh di belakang Datuk Seri walau apapun terjadi kerana kami ingin memastikan Umno/Barisan Nasional (BN) Terengganu cemerlang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Santai Pemuda Umno Terengganu bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu malam tadi.

Mohd Johari berkata pada PRU ke-14 nanti terdapat kira-kira lima juta pengundi baharu di seluruh negara yang akan keluar mengundi.

"Sehubungan itu kami sekarang akan menumpukan kepada pengundi baharu dan melancarkan kempen keahlian dan daftar pemilih Pemuda Umno di seluruh negeri," katanya.

Sementara itu Ahmad Said berkata Badan Perhubungan Umno Terengganu akan membantu Pemuda bagi menjalankan pelbagai aktiviti terutama dalam usaha memperkuat parti, bersama Pergerakan Wanita dan Puter Umno juga.

Beliau  berharap ketiga-tiga sayap parti itu bersatu tenaga dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang dan mempertahankan kerusi yang ada.

Pada PRU ke-13, Umno/BN negeri hampir kecundang apabila hanya memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menang empat kerusi Parlimen, sama banyak dengan pembangkang.

Sunday 6 April 2014

FAM Jangan Buta Fakta, Kerajaan Negeri Sediakan Dana Besar Untuk Liga M


Siapa kata Menteri Besar tidak berhak bersuara terhadap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika sesuatu keputusan diragui?


Apakah FAM sedar bahawa kerajaan negeri mengeluarkan dana yang besar untuk menyokong Liga Malaysia?

Jangan anggap sesuatu keputusan mengenai bolasepak membabitkan sesuatu pasukan negeri tidak melibatkan kerajaan negeri atau Menteri Besar.

Kenyataan seperti ini seperti ‘buta fakta’ dan inilah yang menyebabkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berang.

Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abdul Razak yang menyatakan Menteri Besar tidak kena mengena dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam isu 'insiden terowong'.


Berikutan itu Ahmad Said membidas jawatankuasa itu berhubung keputusan mengenakan denda RM30,000 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong' di Stadium Larkin Johor, pada 1 Februari lepas.

Bagi Ahmad Said, jawatankuasa itu membuat keputusan terpilih atau 'pilih bulu' kerana hanya menjatuhkan hukuman denda terhadap JDT kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di stadium sehingga mencetuskan insiden itu.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati dengan jawatankuasa tersebut kerana gagal mengenal pasti atau menghukum individu yang mengasari pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan Stefano Impagilazo.

Pada 2 April lalu, Ahmad Said menempelak keputusan FAM yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong'itu.

 Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau mempertikai keputusan  Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.

"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Ahmaad Said berkata penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.

Ahmad Said turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.

Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.

Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.

"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.

'Insiden terowong' berlaku pada 1 Februari lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.

Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.

Bagi Ahmad Said, beliau berhak mencampuri urusan bola sepak kerana kerajaan negeri mengeluarkan dana besar untuk menanggung perbelanjaan pasukan Terengganu dan T-Team dalam pertandingan Liga Super.

"Semua Menteri Besar berhak ke atas pasukan negeri masing-masing kerana dana terbesar untuk perbelanjaan setiap pasukan adalah daripada kerajaan negeri dan bukan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Selain itu, FAM adalah hak milik rakyat Malaysia. Bola sepak ini hak milik orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan WiFi Terbuka Terengganu di lapangan terbang Sultan Mahmud semalam.

Justeru , katanya beliau tidak akan berganjak dengan kenyataannya tempoh hari yang meminta Jawatankuasa Tataterbib FAM letak jawatan jika tidak berani atau malu untuk bertindak.

'Insiden terowong' itu berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara T-Team dengan JDT di Stadium Larkin. T-Team enggan meneruskan babak kedua perlawanan itu dan FAM kemudian memberi kemenangan 3-0 kepada JDT.

Tuesday 1 April 2014

Insiden Terowong Larkin - Pegawai Tinggi Terlibat Kini Kes Polis

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Selepas dua bulan menunggu perbicaraan kes insiden 'Terowong Larkin' ini, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya membuat keputusan berdasarkan isu keselamatan.

Taufek mengumumkan keputusan tersebut selepas hampir sepuluh jam bermesyuarat. "Setelah panjang lebat hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan.



"Perkara ini memang diakui oleh Setiausaha Agung JDT, Mohd Fahmy Yahya semasa memberi hujahnya. 

"Akibat daripada masalah kelemahan keselamatan , kekurangan selia yang baik jawatankuasa telah mendapati JDT terbabit dengan keadaan itu dan didenda RM30,000 dan diberi amaran agar peristiwa itu tidak berlaku lagi.

"Dan dengan hukuman itu mereka berhak membuat hukuman kerana maksimum hukuman adalah RM100,000," jelasnya pada sidang media.

Manakala mengenai isu yang dikatakan ada pegawai tertinggi terlibat dalam kes ini, Taufek menjelaskan ia adalah kes polis kerana terdapat laporan dibuat.

"Dalam kes ini dua pihak terlibat, FAM dan satu lagi pihak polis. "Saya difahamkan bahawa ini hasil siasatan pihak polis dan telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil susulan.

"Dan sekiranya tiada tindakan, kami akan mengambil tindakan kerana FAM ada tempoh dua tahun untuk berbuat demikian.

"Kita di pihak FAM telah berbincang bahawa setakat ini kes tersebut ditangguh," katanya.

Insiden 'Terowong Larkin' menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA 1 Februari lalu.